KUALA LUMPUR – PAS terbuka untuk menerima sesiapa sahaja, termasuk bekas pemimpin dan ahli Bersatu yang ingin menyertai parti itu, tertakluk kepada prosedur yang ditetapkan serta kelulusan kepimpinan pusat.
Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, sebarang permohonan untuk menyertai parti perlu melalui proses standard dan memerlukan kelulusan Jawatankuasa Pusat PAS.
“Secara umumnya, kita menerima sesiapa sahaja yang ingin menjadi ahli PAS, dan ia tertakluk kepada kelulusan Jawatankuasa Pusat PAS.
Namun, isu ini belum timbul setakat ini kerana kita belum menerima sebarang permohonan daripada pihak berkenaan,” katanya seperti yang dilaporkan sebuah portal berita, hari ini.
Beliau menegaskan bahawa PAS tidak membuat sebarang tawaran kepada individu daripada Bersatu atau parti lain.
“Kita tidak membuat sebarang tawaran. Terpulang sepenuhnya kepada mereka,” katanya.
Ditanya sama ada krisis dalaman dalam Bersatu akan menjejaskan kestabilan Perikatan Nasional, beliau mengakui ia akan memberi kesan.
“Jika mana-mana parti dalam Perikatan berdepan masalah dalaman, sudah tentu ia akan memberi kesan. Sebab itu diharapkan Bersatu dan parti-parti lain dalam Perikatan kekal stabil. Jika tidak, gabungan itu akan dilihat tidak stabil dan orang ramai akan membuat spekulasi,” tambahnya. -MalaysiaGazette
















