Gambar lokasi kejadian ihsan IPD Rompin

ROMPIN – Seorang remaja maut apabila motosikal dinaikinya dirempuh sebuah kereta dalam kejadian di kilometer 124 Jalan Kuantan-Johor Bahru, di sini awal pagi tadi.

Mangsa, Muhammad Danish Irfan Abdullah, 16, pelajar tingkatan 4 Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Rompin dilaporkan maut ditempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Rompin, Superintenden Sharif Shai Sharif Mondoi berkata, ketika kejadian kira-kira pukul 2 pagi tadi, mangsa menunggang motosikal jenis Honda Wave bersama seorang rakannya berusia 15 tahun dari arah Johor Bahru menghala ke Kuantan.

“Apabila sampai di tempat kejadian, sebuah kereta jenis Proton Waja dinaiki dua lelaki berusia 32 tahun dan 35 tahun dipercayai telah hilang kawalan dan masuk ke laluan bertentangan lalu melanggar motosikal dinaiki mangsa dan rakannya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sharif berkata, rakan mangsa yang juga merupakan pelajar SMK Seri Rompin mengalami kecederaan di bahagian kaki dan dihantar ke Hospital Muadzam Shah untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Manakala kedua-dua lelaki menaiki Proton Waja yang merupakan pekebun tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Hasil siasatan awal mendapati kemalangan berpunca daripada kecuaian pemandu kereta Proton Waja yang cuai ketika memandu dan kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast