KUALA LUMPUR – Bekas Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, sebarang keputusan untuk menganggotai parti berbeza akan dibincangkan secara bersama dengan barisan kepimpinan lain.
Beliau yang dipecat semalam berkata, buat masa ini, selaku Ketua Pembangkang, beliau selesa sebagai ahli Parlimen bebas sehingga kedudukan tersebut diputuskan sebaliknya.
Bagaimanapun, Hamzah tidak menolak kemungkinan untuk kembali menganggotai UMNO atau menyertai Pas bagi kesinambungan karier politiknya.
“Saya akan ada ‘rumah baharu’. Rumah baharu ini merujuk kepada rumah bangsa, ia boleh menjadi parti baharu atau lama tetapi yang penting, rumah baharu.
“Begitu juga dengan dakwaan bahawa saya akan mengambil alih BERJASA.
“Mungkin betul atau tidak tetapi segala-galanya akan dipertimbangkan kerana ini adalah antara pilihan yang ada,” katanya kepada sidang media selepas sesi taklimat Hala Tuju dan Reset Politik bersama beliau di sini, hari ini.

Hamzah selanjutnya menyatakan, setakat ini, termasuk beliau seramai 19 daripada 25 ahli Parlimen bersamanya yang angka itu menunjukkan jumlah majoriti.
Ujarnya, beliau tidak akan membuat keputusan secara bersendirian, sebaliknya akan berbincang dengan rakan-rakan pemimpin yang lain.
Ketika diminta mengulas ajakan supaya mereka menyertainya, Hamzah menjelaskan, saranan itu dilakukan bukan bermakna untuk mewujudkan parti lain mahupun untuk menjadi Presiden.
Sebaliknya jelas beliau, ajakan itu bagi menyertai perjuangan ikhlas untuk masa depan negara yang lebih penting.
“Tidak semestinya jika mereka menyokong saya, mereka juga harus menyertai saya. Buat masa ini, saya ahli Parlimen bebas namun saya dapat sokongan dari ramai ahli Parlimen Perikatan Nasional,” ujarnya. – MalaysiaGazette
















