JASIN – Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datuk Bendahara muncul juara kategori sekolah menengah dalam Pertandingan Inovasi Sains pada program Stemfinity in Me: Bendahara Digital Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Innovation Showcase yang berlangsung di sekolah itu.
Program dua hari bermula 11 Februari itu menghimpunkan lebih 3,000 pelajar dari seluruh negeri merangkumi prasekolah, sekolah rendah, sekolah menengah dan pendidikan khas.
Penyelaras program, Datin Diana Aini Mokter berkata, sambutan menggalakkan membuktikan minat pelajar terhadap bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik serta Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (STEM) semakin meningkat.

“Lebih 3,000 pelajar menyertai pelbagai pertandingan dan pameran inovasi sepanjang program ini berlangsung.
“Platform ini memberi peluang kepada pelajar menonjolkan bakat, kreativiti dan kemahiran teknologi selaras dengan keperluan pendidikan abad ke-21,” katanya ketika ditemui pada majlis penutupan program di sini baru-baru ini.
Majlis penutupan disempurnakan Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Allex Seah Shoo Chin. Terdahulu, pembukaan program dirasmikan Timbalan Exco Pelaburan, Perindustrian dan Pembangunan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional, Datuk Khaidhirah Abu Zahar.
Mengulas lanjut, Diana Aini berkata berkata, program itu turut meningkatkan kesedaran ibu bapa dan komuniti mengenai kepentingan pembangunan kemahiran serta laluan kerjaya dalam bidang TVET.
“Kita mahu melahirkan pelajar bukan sahaja cemerlang akademik, tetapi mampu berfikir secara kreatif, kritis dan inovatif.
“Pendedahan awal penting bagi memastikan generasi muda bersedia menghadapi cabaran Revolusi Industri 4.0,” ujarnya.
Dalam kategori lain, Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Alor Gajah menjuarai pertandingan sekolah rendah, manakala Kolej Vokasional Datuk Seri Mohd Zin mengungguli pertandingan pendawaian elektrik.
SMK Datuk Bendahara turut menjuarai Pertandingan Memasak Numee, sekali gus melengkapkan kejayaan sebagai tuan rumah. – MalaysiaGazette
















