Datuk Seri Noraini Ahmad beramah mesra selepas merasmikan Program Budi Agrikomoditi Sektor Peladangan di Dewan Sri Sulong di Parit Sulong, Batu Pahat, hari ini.

BATU PAHAT – Seramai 21,049 pekebun kecil sektor Agri Komoditi di Johor menerima bantuan tunai RM2,400 setahun sebagai usaha meringankan beban mereka.

Menteri Perladangan dan Komoditi (KPK) Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, bantuan itu juga bagi memastikan produktiviti serta kesinambungan pendapatan golongan itu dapat dikekalkan.

“Jumlah ini adalah daripada seramai 29,048 pekebun kecil di Johor yang mengemukakan permohonan Budi Agri Komoditi sehingga 31 Januari tahun ini.

“Inisiatif ini dilaksanakan bagi memastikan golongan sasar khususnya pekebun kecil terus dibantu dalam menghadapi kenaikan harga barang terutama bagi mereka yang terkesan secara langsung dengan rasionalisasi bahan api diesel,” katanya.

Noraini berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Budi Agrikomoditi Sektor Peladangan di Dewan Sri Sulong di Parit Sulong di sini hari ini.

Katanya, Budi Agri Komoditi adalah khusus untuk golongan petani, penternak serta pekebun kecil yang berdaftar dan kerajaan amat menyedari bahawa mereka adalah sebahagian tulang belakang kepada ekonomi komoditi negara.

Katanya, Budi Agri Komoditi diperkenalkan sebagai langkah proaktif untuk menyokong pekebun kecil yang berdaftar di bawah agensi Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK).

“Saya menyeru kepada pekebun kecil yang berkelayakan mengikut syarat ditetapkan namun masih belum mendaftar agar mengambil peluang dengan membuat permohonan secepat mungkin,” katanya.

Menurut beliau, semua pekebun kecil perlu mematuhi syarat kelayakan antaranya warganegara, berdaftar dengan agensi di bawah KPK seperti Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Lembaga Getah Malaysia (LGM), Lembaga Koko Malaysia (LKM), Lembaga Lada Malaysia (MPB) dan Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN).

Ujarnya, pekebun juga perlu mengusahakan tanah dengan keluasan tidak melebihi had ditetapkan mengikut sektor iaitu sehingga 4.5 hektar bagi pekebun kecil sawit dan getah persendirian serta sehingga 2.5 hektar bagi pekebun kecil koko, lada dan kenaf persendirian.

“Mereka juga mengusahakan pengeluaran secara aktif dan berterusan dengan nilai jualan tahunan antara RM50,000 hingga RM300,000,” katanya.- MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast