Mohd Sohaimi Ishak

PASIR GUDANG – Bayi dalam kandungan yang lapan bulan maut, selepas motosikal ditunggang ibunya kemalangan dengan sebuah kereta di Jalan Masai-Kong Kong di sini malam tadi.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Asisten Komisioner Mohd Sohaimi Ishak berkata, kemalangan berkenaan berlaku pukul 9.27 malam ketika kedua-dua kenderaan itu berada di laluan yang sama.

“Kemalangan membabitkan kereta jenis Kia Cerato yang dipandu seorang lelaki berusia 40 tahun dengan sebuah motosikal jenis Yamaha 135LC yang ditunggang mangsa berusia 26 tahun.

“Siasatan awal mendapati ketika tiba di lokasi kejadian, kereta tersebut telah mengubah haluan dari lorong kanan ke lorong kiri menyebabkan mangsa dari arah belakang tidak sempat mengelak lalu terlanggar bahagian belakang tersebut,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, akibat pelanggaran tersebut, wanita itu mengalami kecederaan dalaman dan telah dibawa ke Hospital Sultan Ismail di Johor Bahru untuk rawatan lanjut.

Mohd Sohaimi berkata, mangsa yang mengalami kecederaan dalaman itu terpaksa menjalani pembedahan kecemasan di hospital berkenaan.

Bagaimanapun katanya, bayi dalam kandungan mangsa yang berusia lapan bulan tidak dapat diselamatkan dan disahkan meninggal dunia oleh pihak hospital

“Ujian saringan air kencing serta ujian pernafasan dijalankan ke atas pemandu kereta terbabit mendapati keputusan adalah negatif,” katanya.

Pemandu kereta yang tidak mengalami sebarang kecederaan itu ditahan untuk siasatan, ujarnya.

Tambahnya, kes disiasat bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih diteruskan.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi pihak polis menerusi talian 07-3864222.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast