Mohd Hamdan Mohd Sharif.

KUALA LUMPUR – Parti Berjasa Malaysia (Berjasa) menafikan dakwaan kononnya bekas Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Hamzah Zainudin akan mengambil alih parti tersebut.

Ketua Penerangannya, Mohd Hamdan Mohd Sharif berkata, parti itu kekal utuh di bawah kepimpinan Majlis Kepimpinan Tertinggi yang dipilih dan dilantik secara sah menurut perlembagaan parti.

Menurutnya, setakat ini juga, tiada sebarang perbincangan rasmi atau pertemuan khusus berhubung dakwaan tersebut.

Namun, ujar beliau, Berjasa sentiasa terbuka untuk berbincang dengan mana-mana pihak demi memperkukuh agenda kesatuan dan penyatuan Melayu.

“Parti Berjasa bersifat terbuka kepada mana-mana individu dan pihak yang ingin bersama di dalam perjuangan parti demi mendaulatkan negara serta mengangkat martabat anak bangsa sebagaimana yang sudah sedia digariskan di dalam rangka Impian Nasional BERJASA 2040.

“Bagaimanapun, sebarang permohonan hendaklah melalui proses dan prosedur keahlian yang ditetapkan menurut perlembagaan parti,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, media melaporkan kenyataan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pemanis, Datuk Dr Chong Fatt Full yang menyifatkan Hamzah berpotensi mengambil alih Berjasa sebagai wadah politik baharu susulan pemecatannya daripada Bersatu.

Menurut Fatt Full, jangkaan itu dibuat berdasarkan situasi politik semasa yang tidak memberi banyak ruang kepada Hamzah untuk menubuhkan parti baharu, terutama ketika negara menghampiri siri Pilihan Raya Negeri (PRN) dan Pilihan Raya Umum (PRU).

Sementara itu, Mohd Hamdan menambah, Berjasa akan terus komited terhadap sasaran dan agenda penyatuan Melayu serta perjuangan nasional.

Katanya, ia merangkumi pengukuhan perpaduan dan identiti nasional, reformasi politik dan kepimpinan negara, pemerkasaan ekonomi dan sara hidup rakyat, pembangunan pendidikan dan modal insan, serta penguasaan sains dan teknologi serta alam sekitar yang lebih mandiri dan kedaulatan digital negara.

“Berjasa akan kekal teguh dengan prinsip, perjuangan dan hala tuju yang telah digariskan demi masa depan negara yang lebih unggul, berdaulat dan bermaruah,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast