Perdana Menteri yang juga Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Foto SADIQ SANI, 07 FEBRUARI 2026

JOHOR BAHRU – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim enggan mengulas isu pemecatan Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Hamzah Zainudin dan krisis dalaman parti berkenaan.

Beliau yang juga Presiden PKR berkata, tumpuannya ketika ini adalah untuk memperkuat jentera parti bagi menghadapi pilihan raya akan datang.

“Biarkan dia orang bergaduh dahulu,” katanya ringkas selepas meninggalkan Majlis Perjumpaan Presiden PKR bersama PKR Johor di Pulai Spring Resort, di sini hari ini.

Yang turut hadir ialah Ketua Wanita PKR, Fadhlina Sidek; Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Johor, Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa dan Setiausaha MPN PKR Johor, Mohd Khuzzan Abu Bakar.

Datuk Seri Anwar Ibrahim beramah mesra dengan ahli parti dalam Majlis Perjumpaan Presiden PKR bersama PKR Johor di Pulai Spring Resort, Johor Bahru hari ini

Kelmarin, Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dilaporkan berkata, keputusan itu diputuskan Lembaga Disiplin seiring Fasal 22.5 perlembagaan parti tersebut.

Hamzah dilaporkan tidak hadir selepas dipanggil hadir ke prosiding bersama Lembaga Disiplin parti itu dijadual berlangsung di Ibu Pejabat Bersatu di Petaling Jaya.

Lembaga Disiplin Bersatu dalam notis panggilan sebelum ini memaklumkan Hamzah dipanggil terkait isu kritikan dan serangan terhadap Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yasin serta rundingan membabitkan presiden parti dalam Perikatan Nasional (PN).

Sebelum ini, pelbagai desakan daripada pemimpin parti itu mahu supaya keahlian Hamzah dipecat selepas didakwa menjadi dalang kepada gerakan menggesa pengunduran Muhyiddin.

Datuk Seri Anwar Ibrahim beramah mesra dengan ahli parti dalam Majlis Perjumpaan Presiden PKR bersama PKR Johor di Pulai Spring Resort, Johor Bahru hari ini

Hamzah yang juga ketua pembangkang Parlimen turut didakwa terbabit dalam gerakan mengumpul akuan bersumpah (SD) bagi mengambil alih dan menukar kepimpinan Bersatu ketika ini.

Ditanya mengenai keperluan ketua pembangkang Parlimen, Anwar enggan memberikan komen sebelum menaiki kereta untuk bergerak ke program seterusnya di Pontian.

Ditanya mengenai perjumpaan dengan PKR Negeri Johor, Anwar berkata, itu bertujuan bagi menyampaikan amanat gerak kerja yang akan digerakkan menuju Pilihan Raya Negeri (PRN) yang dijangka diadakan pada tahun ini.

“(Setiap cabang) Perlu kerja kuat, kerja kuat sebagai satu pasukan,” ujarnya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast