PASIR GUDANG – Lebih 30 keluarga mangsa kebakaran yang terjejas selepas rumah mereka musnah di Kampung Orang Asli Teluk Jawa, Masai di sini akan menerima menerima sumbangan RM5,000.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Johor, Datuk Zahari Sarip berkata, sumbangan tersebut disalurkan daripada pelbagai jabatan dan agensi terutamanya Majlis Agama Islam Negeri Johor (JAINJ).
“Pelbagai sokongan daripada jabatan, agensi, syarikat berkaitan kerajaan (GLC), badan bukan kerjaan (NGO) dan individu tampil ke hadapan menyalurkan bantuan.
“Antaranya, MAINJ menyakurkan bantuan tunai segera berjumlah RM1,000 dan RM2,000 kepada setiap keluarga bagi kelengkapan rumah selepas mereka yang terjejas berpindah.
“MAINJ juga akan menanggung bayaran rumah sewa serta bil air dan elektrik bagi penempatan sementara,” katanya satu dalam kenyataan.
Beliau berkata, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) pula memberikan bantuan tunai RM1,000 bagi setiap keluarga, manakala Yayasan Sultan Ibrahim Johor (YSIJ) dengan bantuan tunai RM2,000 bagi setiap keluarga.
Selain itu, Zahari berkata, Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) dan Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) sera GLC memberikan sumbangan sokongan daripada segi bakul atau kit makanan, kit bencana, kemudahan pusat pemindahan sementara (PPS) dan sebagainya.
“Terima kasih kepada Pejabat Daerah Johor Bahru, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan JAKOA yang memastikan kesiapsiagaan PPS dalam menempatkan mangsa yang terjejas akibat bencana ini.
“Kerajaan negeri menerusi jabatan atau agensi berkaitan akan turut mencadangkan bantuan penempatan perumahan jangka pendek atau sementara dan cadangan penempatan semula kekal kepada keluarga yang terlibat,” jelasnya.
Terdahulu, Zahari turun padang ke lokasi kejadian meninjau kawasan yang terjejas yang turut dihadiri Ketua Pengarah Jakoa, Muhammad Akmal Ila Ahmad; Pengarah Jakoa Johor, Faisal Long dan Ketua Pegawai Eksekutif MAINJ, Mohd Radzi Mohd Amin.
“Saya amat bersimpati dan berdukacita melihat 30 buah rumah kediaman di kawasan itu yang musnah akibat kebakaran dan kejadian ini pastinya memberi kesan yang amat mendalam kepada mangsa yang terlibat.
“Semoga bantuan yang disalurkan ini sedikit sebanyak meringankan beban mangsa dan memberi harapan baharu untuk mereka bangkit kembali,” katanya.
Khamis lalu, sebanyak 30 buah rumah di Kampung Orang Asli Teluk Jawa dilaporkan musnah dalam kebakaran yang berlaku kira-kira pukul 7 pagi.
Dilaporkan, kebakaran memusnahkan 90 peratus kediaman atas milik Orang Asli Seletar itu, selain merosakkan dua bot, sebuah kereta dan enam motosikal penduduk. – MalaysiaGazette
















