Abdul Rahim menyertai perjumpaan membabitkan pelbagai pihak bagi mencari penyelesaian isu TRM Kampung Melayu Majidee, Johor Bahru.

JOHOR BAHRU – Persatuan Kebajikan Pemilik Tanah dan Penduduk Kampung Melayu Majidee (Perkam) masih menunggu jawapan permohonan menukar status Tanah Rizab Melayu (TRM) kampung tersebut daripada hak milik pajakan kepada hak milik kekal.

Pengerusi Perkam, Abdul Rahim Md Shariff berkata, mereka menunggu jawapan selepas pertemuan bersama-sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Larkin, Mohd Hairi Mad Shah dan beberapa pegawai kerajaan negeri, 26 Januari lalu.

“Sehingga hari ini, Perkam masih menunggu jawapan bertulis berhubung permohonan dan hasil pertemuan tersebut.

“Perkam menegaskan bahawa kami adalah sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan bukanlah parti politik. Perkam tidak membawa sebarang sentimen daripada mana-mana parti atau gerakan politik.

“Kami amat berharap agar mana-mana pihak menghentikan sebarang kaitan. Permohonan Perkam dengan sentimen politik kerana perkara ini adalah isu rakyat, bukan isu politik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, tindakan sewajarnya akan diambil terhadap mana-mana pihak tidak bertanggungjawab jika terus masih terus dikaitkan dengan mana-mana parti politik.

“Kami memohon agar pihak YB ADUN Larkin dan kerajaan negeri dapat mengambil tindakan berhubung perkara yang dibincangkan dalam pertemuan tersebut dengan kadar segera,” ujarnya.

Perkam katanya, masih menunggu maklum balas pihak berkenaan.

Pada 20 April lalu, media melaporkan bahawa lebih 40,000 penduduk Kampung Melayu Majidee terus hidup dalam dilema apabila permohonan mereka untuk menukar status tanah kediaman daripada TRM berstatus pajakan 99 tahun kepada hak milik kekal masih belum menerima sebarang maklum balas daripada kerajaan negeri.

Tempoh pajakan TRM Kampung Melayu Majidee dijadual berakhir pada 2053, iaitu 28 tahun lagi, sekali gus menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penduduk terhadap masa depan mereka, termasuk kemungkinan kampung tersebut dibangunkan secara komersial.

Kampung Melayu Majidee merupakan penempatan Melayu kedua terbesar selepas Kampung Baru, Kuala Lumpur, dan terletak di lokasi strategik di tengah-tengah bandar raya Johor Bahru dengan keluasan kira-kira 730 hektar.

Perjumpaan terbaharu dilakukan bulan lalu yang membabitkan pelbagai pihak termasuk Exco dan bekas Exco kerajaan negeri yang terdahulu bagi mencari penyelesaian. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast