KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli mengingatkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki supaya tidak terlalu yakin dengan kedudukannya ketika ini, sebaliknya bersedia berdepan kemungkinan kebangkitan suara rakyat yang boleh memberi kesan kepada mana-mana pemimpin.
Menurut Rafizi, walaupun Azam dilihat berani untuk disiasat berhubung isu pemilikan saham, siasatan yang dijalankan setakat ini didakwa hanya tertumpu kepada aspek tertentu dan bukannya tuduhan lebih serius termasuk dakwaan berganding bahu atau wujudnya unsur perkongsian gelap.
“Dia kata ini kali pertama dan tidak kisah jika disiasat. Tetapi, siasatan yang dibuat hanya menjurus kepada pemilikan saham. Tuduhan yang lebih serius belum disentuh,” katanya kepada media ketika ditemui pada Himpunan Tangkap Azam Baki di hadapan pusat beli-belah Sogo di sini, hari ini.
Beliau turut mempersoalkan kewujudan badan bebas yang benar-benar mampu menjalankan siasatan secara menyeluruh dan telus.
Rafizi berkata, sekiranya beliau berada di kedudukan Azam, beliau tidak akan terlalu yakin bahawa perkara tersebut tidak akan disiasat secara lebih mendalam pada masa akan datang.
Dalam masa sama, beliau mengingatkan bahawa kekuatan sesebuah kerajaan tidak kekal selamanya dan boleh berubah mengikut sentimen rakyat.
Mengimbau situasi ketika pentadbiran bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, Rafizi berkata, kemarahan rakyat yang memuncak pada ketika itu akhirnya membawa kepada perubahan kerajaan.
“Kerajaan hari ini tidaklah sekuat kerajaan terdahulu. Sekurang-kurangnya sekali setiap lima tahun, rakyat mempunyai kuasa untuk menentukan hala tuju negara,” ujarnya.
Beliau yang juga bekas Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) berkata, mana-mana pihak tidak seharusnya hidup dalam ‘gelembung’ seolah-olah kedudukan di Putrajaya akan kekal selama-lamanya.
“Mesej ini bukan sahaja kepada Azam, tetapi juga kepada ahli politik. Jika suara rakyat bangkit, mana-mana Perdana Menteri juga boleh digugurkan,” katanya. – MalaysiaGazette
















