KUALA LUMPUR – Sokongan Ketua Srikandi Bersatu, Datuk Mas Ermieyati Samsuddin terhadap bekas timbalan presidennya, Datuk Seri Hamzah Zainudin adalah atas kapasiti peribadi beliau, bukan mewakili pendirian sayap parti itu.
Naib Ketua Srikandi, Datuk Nolee Ashilin Mohd Radzi berkata, setakat pengetahuan dan penglibatan beliau dalam platform rasmi dalaman Srikandi, rasa tidak puas hati terhadap Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak pernah dibangkitkan secara rasmi mahupun melalui saluran organisasi yang sewajarnya.
Sedangkan sebarang keputusan atau pendirian yang melibatkan hala tuju sayap seharusnya melalui proses perbincangan dan musyawarah, selaras dengan semangat perlembagaan parti serta amalan kepimpinan yang berstruktur.
“Saya percaya bahawa kekuatan Srikandi terletak pada kesatuan, disiplin dan kematangan kita dalam mengurus perbezaan pandangan.
“Dalam apa jua keadaan, kita mesti memastikan bahawa tindakan kita tidak menjejaskan kestabilan parti serta kepercayaan akar umbi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah Nolee Ashilin, peribadi dan sebagai pimpinan dalam sayap Srikandi menghormati hak mana-mana individu untuk menyatakan pendirian politik masing-masing.
Dalam masa sama, beliau menyeru semua ahli Srikandi agar kekal tenang, tidak terpengaruh dengan spekulasim dan terus berpegang kepada prinsip perjuangan parti.
“Semoga Allah memandu kita semua dalam membuat keputusan yang terbaik demi agama, bangsa dan negara,” katanya.
Semalam, Mas Ermieyati yang juga Ahli Parlimen Masjid Tanah turut hadir dan berucap pada himpunan `Reset Bersatu’ anjuran Hamzah yang dipecat daripada parti itu kelmarin.
Kehadiran Mas Ermieyati itu sekali gus memperlihatkan pendirian beliau yang tidak sehaluan dengan Muhyiddin meskipun sebelum ini tidak memperlihatkan sokongan kepada mana-mana kem dalam Bersatu ketika krisis dalaman parti tersebut kian memuncak.
Malah, ketika berucap semalam, Mas Ermieyati mengakui ada pihak cuba menghalangnya daripada menghadiri himpunan bagi menyokong Hamzah berkenaan, namun beliau tetap memilih untuk hadir demi menentukan hala tuju Bersatu ke arah yang lebih baik. – MalaysiaGazette
















