JOHOR BAHRU – Isu Tanah Rizab Melayu (TRM) di Kampung Melayu Majidee di sini tidak wajar berakhir seperti nasib yang menimpa Kampung Baru di Kuala Lumpur sehingga menyaksikan pemilikan dan kawalan tanah semakin terhakis.
Ketua Penerangan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Muhammad Rafique Rashid Ali menegaskan, tanah melambangkan kuasa dan tidak seharusnya dilepaskan sewenang-wenangnya.
“Tanah itu kuasa. Jangan lepaskan tanah, kerana apabila kita lepaskan tanah, kita lepaskan kuasa,” katanya pada sesi penerangan isu pajakan 99 tahun Tanah Rizab Melayu (TRM) di Kampung Dato’ Sulaiman Menteri di sini malam tadi.
Menurutnya, penduduk di Kampung Baru sudah merasai sendiri kesan tekanan pembangunan yang akhirnya menyempitkan ruang pemilikan penduduk asal.
Beliau menegaskan, isu berkenaan bukan bersifat perkauman atau melibatkan sentimen Melayu dan bukan Melayu sebaliknya membabitkan nasib golongan biasa yang telah lama menetap di sesuatu kawasan.
“Ini bukan isu rasisme. Ini isu orang biasa yang duduk lama di situ tetapi akhirnya berdepan cengkaman kapitalis dan pemaju atas nama pemodenan. Tanah menjadi idaman ramai pemaju dan tekanan semakin kuat,” katanya.
Tambah beliau, situasi sama bukan sahaja berlaku di Johor, malah pernah terjadi di Pulau Pinang, Ipoh, Perak dan Kuala Lumpur apabila nilai pembangunan melonjak dan kawasan tradisi menjadi sasaran projek komersial.
Baru-baru ini, Timbalan Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Johor, Dr Dzulkefly Ahmad membangkitkan isu permohonan penduduk untuk menukar status TRM Kampung Melayu Majidee daripada hak milik pajakan kepada hak milik kekal.
Beliau mendakwa perkara itu boleh dilaksanakan melalui inisiatif dan budi bicara kerajaan Johor, malah tuntutan sama pernah direalisasikan di Negeri Sembilan sejak 2019.
Bagaimanapun, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Larkin, Hairi Mad Shah menjelaskan permohonan berkenaan tidak termasuk dalam Seksyen 76(aa)(iii) Kanun Tanah Negara yang tidak membenarkan pertukaran status tersebut.
Isu berkenaan kini terus menjadi perhatian penduduk setempat yang mahu jaminan masa depan tanah rizab itu kekal terpelihara demi kepentingan generasi akan datang.- MalaysiaGazette
















