Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Ahmad Maslan secara simbolik merasmikan Majlis Pecah Tanah Bangunan Tambahan Hospital Pontian di Dataran Pontian, Pontian, hari ini.

PONTIAN – UMNO tidak mahu mengambil kesempatan atas pergolakan dalaman Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dengan menarik bekas ahli atau pemimpin parti itu untuk menyertai UMNO.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, sekiranya mereka mahu menyertai UMNO perlu mendapat pertimbangan dan keputusan MKT UMNO.

“Kita (UMNO) tegas dengan pendirian bahawa parti ini tidak berniat mengambil kesempatan terhadap perpecahan parti lawan yang dalam keadaan berantkaan.

“Sebaliknya UMNO mahu terus memperkukuh kedudukan parti berlandaskan kekuatan sendiri, prinsip perjuangan serta sokongan akar umbi,” katanya yang juga Timbalan Pengerusi UMNO Johor.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Pecah Tanah Bangunan Tambahan Hospital Pontian di Dataran Pontian di sini hari ini.

Majlis berkenaan disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Turut hadir Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Sebelum itu, Bersatu dilaporkan berdepan krisis apabila Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin dan 16 pemimpin lain dipecat.

Ahmad menjelaskan, ketika Perhimpunan Agung UMNO pada bulan lalu, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ada menggariskan tiga kerangka politik utama sebagai panduan masa hadapan.

“Konsep Rumah Bangsa, Masyarakat Nasional dan Kolaborasi Agung. Ketiga-tiga prinsip ini menjadi asas kepada sebarang pertimbangan strategik termasuk isu penyertaan tokoh politik dari parti lain.

“UMNO kekal berjiwa besar dan terbuka, namun setiap keputusan mesti dibuat secara berhemah dan berlandaskan perlembagaan serta prinsip parti,” katanya.

Pada 15 Januari lalu, Ahmad Zahid dilaporkan mengalu-alukan mana-mana wakil rakyat Bersatu yang sebelum ini daripada UMNO kembali menyertai parti berkenaan.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr Puad Zarkashi berkata, tawaran itu dibuat ketika Taklimat Presiden UMNO yang berlangsung secara tertutup.- MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast