zulkifli bujang
Zulkifli Bujang

JOHOR BAHRU – Bekas Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Johor Bahru, Datuk Zulkifli Bujang mendakwa pemecatannya daripada keahlian dibuat tanpa melalui proses disiplin yang telus serta adil.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) itu berkata, keputusan pemecatan tersebut dimaklumkan lewat petang Khamis menerusi sepucuk surat yang dihantar melalui aplikasi WhatsApp oleh Lembaga Disiplin parti.

“Untuk makluman, surat panggilan menghadiri sidang Lembaga Disiplin hanya saya terima ketika berada di luar negara atas urusan yang telah dijadualkan lebih awal.

“Sejurus menerima surat tersebut, saya telah memohon agar satu tarikh baharu ditetapkan bagi membolehkan saya pulang ke tanah air dan hadir memberikan penjelasan secara bersemuka,” katanya dalam satu kenyataan.

Namun kata Zulkifli, keputusan pemecatan telah dibuat tanpa sebarang sesi pendengaran dan tanpa memberi ruang munasabah untuk beliau membela diri.

Beliau berkata, keadaan itu menimbulkan persoalan serius terhadap ketelusan serta integriti proses disiplin parti, selain melihat Lembaga Disiplin seolah-olah digunakan bagi memenuhi agenda pihak tertentu.

Perkembangan itu ujarnya, turut menguatkan persepsi bahawa wujud pengaruh kartel yang mengawal keputusan strategik parti demi mencapai tujuan politik tertentu.

Walaupun kecewa, beliau tetap menghormati keputusan yang dibuat parti, namun berpendapat tindakan pemecatan secara beramai-ramai itu tidak matang dan tidak mencerminkan semangat demokrasi.

Kelmarin, Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin dipecat Bersatu, 16 lagi pemimpin parti itu menerima nasib sama setelah didapati melanggar Perlembagaan Bersatu.

Pemecatan itu dimaklumkan oleh Pengerusi Lembaga Disiplin Bersatu, Datuk Mohd Radzi Manan kepada Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yasin dalam satu notis makluman bertarikh 13 Februari 2026.

Berdasarkan senarai penuh yang dikongsikan, selain Hamzah yang juga Ahli Parlimen Larut, tiga Ahli Parlimen lain serta dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) turut dipecat.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast