Md Nazri Saadon (kanan) dan Muhammad Yunus Kassim menunjukkan surat arahan pengosongan tanah dari Pejabat Tanah Daerah Batu Pahat yang diberikan kepada penduduk di lima buah kampung di Batu Pahat.

BATU PAHAT – Seramai 131 buah keluarga dari lima kampung di sini merayu kerajaan untuk menangguhkan proses pengosongan tanah mereka bagi memberi laluan kepada pembinaan rancangan tebatan banjir (RTB) di Mukim Simpang Kanan di sini.

Naib Pengerusi Jawatankuasa Bertindak, Md Nazri Saadon berkata, pengosongan itu perlu dilakukan kerana lima perkembangan tersebut terlibat dalam RTB dan berada diatas tanah seliaan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

Jelas beliau, ia melibatkan Kampung Parit Bilal Laut, Kampung Palembang, Kampung Sri Muara, Kampung Pinang Malan dan Kampung Lopiak Lama.

Menurutnya, surat arahan pengosongan tanah daripada Pejabat Tanah Daerah (PTD) Batu Pahat dikeluarkan pada 28 Januari lalu dengan tempoh 14 hari yang berakhir pada 12 Februari.

“Semua penduduk terlibat perlu mengosongkan tapak pembinaan RTB berkenaan. Namun untuk tempoh sesingkat itu ia agak mustahil kepada semua keluarga terlibat melakukan pengosongan tanah kerana perlu berhadapan kekangan.

“Mereka perlu mencari atau membina kediaman baharu selain faktor kewangan apatah lagi hampir keseluruhan mereka adalah golongan B40 dan hanya bergantung harap kepada pekerjaan sebagai nelayan atau bekerja sendiri,” katanya kepada pemberita hari ini.

Dia berkata, sebelum pemakluman pengosongan tanah, penduduk tidak dimaklumkan tentang projek pembangunan RTB itu dan hanya diketahui ketika menerima surat pengosongan tanah.

“RTB ini adalah projek kerajaan untuk pemasangan ban tanah selebar 30 meter dengan ketinggian kira-kira 10 meter bagi menghalang kenaikkan air sungai ketika banjir,” katanya.

Menurut Md Nazri lagi, pihaknya tidak membantah arahan pengosongan tanah itu jika sememangnya perlu dilakukan namun memerlukan masa untuk melaksanakannya kerana perlu mencari kediaman baharu yang mampu dimiliki atau sekurang-kurang kawasan penempatan bagi membina rumah.

Ujarnya, penduduk juga mengharapkan campur tangan kerajaan negeri bagi mengatasi kemelut dihadapi agar nasib mereka terbela khususnya dalam soal penempatan baharu atau rumah kediaman.

“Jika boleh, kami mahukan pembinaan flood wall seperti diminta oleh penduduk di Parit Sulung sebelum ini yang turut terlibat dalam projek RTB kerana ada rumah-rumah kediaman disini sudah lebih 50 tahun kewujudannya selain dihuni oleh golongan warga emas.

“Kami juga mengharapkan kepimpinan setempat mengambil maklum masalah dihadapi penduduk sebelum arahan pengosongan tanah ini dilakukan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast