KUALA LUMPUR – Setiap perkongsian ada kesan, di mana jari kita mampu menyembuh atau merobek hubungan sesama rakyat, kata Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang menerusi perutusan sempena Tahun Baru Cina hari ini.
Katanya, pada masa kini media sosial menjadi medan utama pertemuan rakyat.
Sehubungan itu, beliau mengajak rakyat bercakap dengan empati, berkongsi dengan kebijaksanaan dan berbeza pendapat dengan adab.
“Budaya hormat-menghormati inilah asas keharmonian. Sempena Tahun Baharu Cina ini. Marilah kita perbaharui komitmen sebagai rakyat Malaysia untuk faham, hormat, terima dan meraikan kepelbagaian demi masa depan negara yang aman, bersatu dan penuh harapan,” katanya.
Katanya, Malaysia berdiri teguh bukan kerana kita sama tetapi kerana kita belajar hidup dalam perbezaan dengan rasa hormat.
Ujar beliau, tahun ini merupakan Tahun Kuda yang merupakan simbol kekuatan, ketekunan dan kesetiaan yang membina sebuah negara bangsa yang bersatu dan bermaruah.
“Malaysia berdiri teguh bukan kerana kita sama tetapi kerana kita belajar hidup dalam perbezaan dengan rasa hormat. Kita berbeza budaya, bahasa dan kepercayaan, namun kita tetap satu keluarga besar Malaysia,” tambahnya. – MalaysiaGazette
















