Gambar hiasan

Oleh Abduh Wagiman

Dalam konteks ajaran Islam, doa bukanlah sekadar rangkaian lafaz yang mampu menenangkan emosi bahkan ia adalah ibadah yang memerlukan adab, disiplin, serta pertanggungjawaban moral. Rasulullah SAW menegaskan bahawa doa ialah “senjata orang mukmin, tiang agama dan cahaya langit serta bumi.” Sabda ini sering diulang sebagai slogan kerohanian, namun jarang ditekuni secara jujur bahawa  setiap “senjata” memerlukan kawalan, sasaran yang benar, serta tujuan yang adil. Jika tidak, senjata itu boleh berbalik memusnahkan pemiliknya.

Di sinilah letaknya masalah mutakhir, iaitu doa khususnya yang berkait dengan Qunut Nazilah semakin kerap diheret ke gelanggang pertarungan politik, sentimen kepartian, dan kebencian sesama Muslim. Yang sepatutnya menjadi permohonan pertolongan ketika bencana besar bertukar menjadi alat menghakimi, melaknat, dan menzahirkan dendam. Fenomena ini tidak boleh dianggap remeh sebaliknya  ia mencerminkan kekeliruan fiqh, kecacatan adab, dan penyimpangan budaya politik-agama yang merosakkan ukhuwah serta kestabilan sosial.

Qunut Nazilah: Fiqh tuntas  bukan mainan retorik

Secara bahasa, qunut berasal daripada قنت yang membawa makna ketaatan dan ketundukan dan inilah makna asalnya sebagaimana disebut dalam kamus As-Sihah (jilid 1, hlm. 261). Kemudian, maknanya berkembang termasuk maksud doa. Adapun nazilah merujuk kepada malapetaka atau bencana. Berdasarkan takrif ulama fiqh mazhab Syafi‘i, Qunut Nazilah ialah doa yang dibaca ketika iktidal pada rakaat terakhir solat fardu lima waktu, apabila umat Islam ditimpa bencana besar.

Rujukan fiqh manhaji menyatakan hal ini dengan jelas, iaitu berkait dengan musibah yang mengancam umat, bukan sekadar ketegangan emosi atau perbalahan pandangan. Penegasan teknikal ini penting kerana doa yang dibaca di luar solat tidaklah dikira Qunut Nazilah secara teknikal, walaupun lafaznya sama. Namun ia tetap tertakluk kepada perbincangan adab dan batasan doa.

Kekeliruan masyarakat hari ini ialah menyangka setiap doa yang dilafazkan secara emosional, keras, dan berintonasi “agama” automatik menjadi Qunut Nazilah yang suci, lalu bebas daripada disiplin syarak. Inilah kesilapan daripada awal yang perlu disedari semua.

Pensyariatan Qunut Nazilah bermula apabila Rasulullah SAW memanjatkan doa untuk para sahabat di Mekah yang ditindas sehingga terhalang berhijrah. Ia respon terhadap kezaliman nyata dan bencana yang mengancam keselamatan umat, bukan respon terhadap perbezaan pendapat sesama Islam. Lebih penting, Qunut Nazilah bukan amalan tetap.

Ibn al-Qayyim menegaskan bahawa amalan Baginda SAW ialah berqunut khusus ketika berlaku bencana dan meninggalkannya apabila bencana itu tiada. Maksudnya, Qunut Nazilah bersifat kontekstual, bukan “ritual politik” yang boleh dihidupkan sesuka hati demi menghangatkan barisan penyokong tegar.

Doa Keburukan: Diizinkan dengan syarat, dibenci jika melampaui batas

Islam tidak menafikan realiti kezaliman. Namun Islam juga tidak memberikan lesen terbuka untuk melampiaskan kebencian melalui doa. Firman Allah Taala dalam Surah al-Nisa’ ayat 148 menegaskan bahawa Allah tidak menyukai perkataan buruk yang dinyatakan secara terbuka, kecuali oleh orang yang dizalimi. Ayat ini sering dijadikan pelarian untuk menghalalkan doa melaknat, tetapi di sinilah fiqh dan adab diuji, pengecualian itu bukan tiket “serangan tanpa had”.

Tafsir al-Qurtubi mengemukakan huraian yang sangat membimbing akhlak. Al-Hasan menyatakan bahawa doa orang yang dizalimi itu sebaiknya berbentuk permohonan pembelaan: “Ya Allah bantulah aku… keluarkan hakku… cegahlah dia…” — dan al-Qurtubi menegaskan bahawa itu “doa kejahatan yang paling kecil” kerana ia masih berada dalam disiplin keadilan, bukan dendam. Ibn Abbas pula menyebut bahawa  orang yang dizalimi boleh melaknat penzalimnya, tetapi jika dia sabar, itu lebih baik. Ini bukan romantik moral akan tetapi  inilah darjat ihsan yang membezakan agama daripada nafsu.

Lebih tegas, Imam al-Khadimi al-Hanafi dalam Bariqah Mahmudiyyah mengingatkan bahawa  doa keburukan hanya dibenarkan setakat kadar kezaliman yang layak diterimanya. Jika keburukan yang didoakan lebih besar daripada kezaliman yang berlaku, maka ia tidak dibenarkan; malah, doa itu berpotensi berbalik kepada diri si pendoa. Prinsipnya mudah: balasan mestilah setimpal, dan syarak melarang melampaui batas. Inilah fiqh yang matang: ia mengawal emosi, bukan memperkuduskan amarah.

Penyimpangan Budaya Politik-Agama: Apabila doa ditalikan pada kepentingan parti

Masalah utama mutakhir ini bukan sekadar kejahilan teknikal, tetapi penyalahgunaan agama untuk mengabsahkan konflik politik. Apabila doa berat dibaca di mimbar, di perhimpunan, atau di ruang awam dengan sasaran yang kabur namun jelas bermuatan politik, maka doa itu telah berubah fungsi iaitu daripada ibadah kepada propaganda, daripada zikir kepada “slogan”, dan daripada rahmat kepada “peluru”.

Contoh yang wajar dijadikan iktibar ialah polemik lafaz doa: “اللهم اشدد وطأتك عليهم” (“Ya Allah, keraskanlah tekanan-Mu ke atas mereka”). Lafaz ini, jika disusur sumbernya, berasal daripada doa Rasulullah SAW terhadap kaum Quraisy yang menyiksa orang Islam di Mekah. Hadis sahih meriwayatkan Baginda berqunut pada rakaat terakhir solat Isyak, memohon keselamatan sahabat yang tertindas, lalu berdoa agar tekanan ditimpakan ke atas Mudhar dan diturunkan tahun-tahun kemarau seperti zaman Nabi Yusuf. Al-Hafiz dalam Fath al-Bari menjelaskan bahawa al-wat’u secara asal bermakna “memijak”, namun di sini merujuk kepada kemusnahan kerana memijak sesuatu di bawah kaki ialah usaha paling tuntas menghancurkannya.

Sekarang tanya dengan jujur, iaitu apakah wajar lafaz yang berkonotasi “kemusnahan” ini dialihkan kepada sesama Muslim hanya kerana perbezaan pendapat atau perbezaan politik? Bahkan lebih luas, apakah wajar juga ia dihalakan kepada bukan Muslim yang hidup harmoni dalam negara yang sama? Ini bukan ketegasan agama, ini kecuaian fiqh dan keganasan emosi yang disucikan oleh simbol-simbol agama.

Dan lebih mengerikan jika doa itu dimakbulkan, siapakah yang akan menanggung akibatnya? Bencana tidak memilih mangsa. Ia boleh menimpa orang awam, kanak-kanak, warga emas, yang miskin, yang tidak terlibat, bahkan si pendoa sendiri. Maka doa yang tidak beradab bukan sekadar salah, ia berbahaya secara sosial.

Doa Terzalimi: Universal, menggentarkan, dan tidak memihak

Islam mengajar bahawa doa orang yang terzalimi tiada hijab dengan Allah bahkan “sekalipun dia kafir”, sebagaimana datang dalam riwayat Ahmad. Kenyataan Ini menegaskan bahawa keadilan Allah bersifat syumul dan murka-Nya terhadap kezaliman tidak memilih identiti. Maka, alangkah ironinya apabila sesama Muslim saling mendoakan keburukan atas dakwaan “kezaliman” yang tidak pun diputuskan secara adil, hanya kerana garis parti dan persepsi.

Dalam keadaan ini, doa tidak lagi menjadi “senjata orang mukmin”, tetapi menjadi peluru yang memantul akan menghancurkan kepercayaan  sosial, memecah masyarakat, dan mencemar masjid sebagai pusat penyatuan.

Penutup: Kembali kepada Ukhuwah, Hikmah, dan Disiplin Syariah

Qunut Nazilah adalah ibadah yang agung tetapi perlu disedari bahawa ia terikat pada syarat, konteks, dan adab. Doa adalah senjata tetapi setiap senjata memerlukan disiplin. Mendoakan kehancuran sesama Muslim atas dasar kepentingan parti bukan cerminan akhlak Islam, bukan warisan para salaf, dan bukan jalan menuju islah. Jalan yang lebih selamat dan lebih dekat dengan rahmat ialah mendoakan kebaikan, memohon hidayah, menggunakan lafaz paling ringan jika benar dizalimi, dan menjadikan sabar sebagai pilihan yang lebih afdal.

Akhirnya, umat Islam perlu bertanya secara jujur,  adakah doa yang kita lafazkan mendekatkan kita kepada Allah atau sekadar melampiaskan amarah yang dipakaikan jubah agama? Di situlah garis pemisah antara kesolehan dan kezaliman, antara ibadah dan manipulasi, antara rahmat dan bencana.

— Abduh Wagiman berasal dari selatan tanah air dan graduan universiti di Timur Tengah. Aktif menjadi pendakwah bebas bertauliah di sekitar Lembah Klang. Telah menjalani tempoh pengajian  hampir 10 tahun di beberapa negara Arab dengan mengikuti sistem kuliah di universiti dan talaqqi  kitab di masjid bersama sheikh-sheikh Arab dan berpeluang mengikuti gerakan dakwah dan politik di Timur Tengah yang penuh dengan kepelbagaian dan keunikan dari segi kefahaman dan ketaksuban.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast