Aswad (kanan) diberi penerangan dalam Program Budi Agrikomoditi Sektor Peladangan di Dewan Sri Sulong di Parit Sulong, Batu Pahat.

BATU PAHAT – Pengumuman kerajaan Johor hadiah hampir RM17 juta sempena Tahun Baru Cina tidak wajar disalahertikan sebagai tidak adil dan hanya memihak kepada satu kaum serta mengabaikan keperluan atau kepentingan yang lain.

Naib Ketua Pemuda UMNO Negeri Johor, Dr Aswad Ithnain berkata, sebagai rakyat, tidak adil untuk terus mencari salah kepimpinan negeri tanpa melihat atau mengetahui peruntukan keseluruhan yang sudah disalurkan kerajaan negeri.

Tegasnya, kerajaan negeri hakikatnya tidak pernah ketinggalan untuk melakukan pelbagai usaha membangunkan dan merencana kebajikan rakyat.

“Apa yang sepatutnya kita lakukan adalah membaca semula risalah setiap perancangan kerajaan dalam memastikan rakyat semua kaum di dalam negeri ini terbela,” katanya  dalam Program Budi Agrikomoditi Sektor Peladangan di Dewan Sri Sulong di Parit Sulong hari ini.

Aswad mengulas pelbagai komen yang dilontarkan segelintir rakyat Johor berkaitan berita yang Kerajaan Johor mengumumkan hadiah hampir RM17 juta sempena Tahun Baru Cina.

Beliau berkata, peruntukan tersebut seperti diumumkan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi bukanlah ang pau sempena perayaan Tahun Baru Cina namun merangkumi pelbagai perkara melibatkan komuniti serta pembangunan.

“Perkara seperti ini secara dasarnya tidak perlu dijadikan isu, kalau kerajaan tidak tolong rakyat nanti dikatakan sebagai kerajaan gagal namun apabila kerajaan prihatin untuk membantu akan dilemparkan dengan pelbagai tohmahan.

“Apa sebenarnya yang anda mahukan lagi sedangkan pelbagai inisiatif telah diberikan untuk membantu keseluruhan rakyat di negeri Johor,” katanya.

Aswad kecewa dengan tindakan segelintir netizen mempertikaikan usaha kerajaan negeri dalam merancang pembangunan kerana seumpama tidak menghargai kepimpinan yang sentiasa komited melakukan kebajikan untuk rakyat rakyat.

Dakwanya, kebanyakan mereka hanya membaca tajuk sesuatu berita atau perancangan kerajaan namun tidak memahami secara langsung isi dalamannya dan terus membuat komen yang mencari kesalahan pemimpin kerajaan negeri Johor.

Tindakan seperti itu, katanya, tidak betul sama sekali apatah lagi setiap perancangan pembangunan yang dilakukan kerajaan negeri selama ini tidak lain daripada menjurus kepada kebajikan rakyat semata-mata.-  MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast