Seorang pesara tentera maut dalam kemalangan di Jalan Batu Pahat-Mersing, Kluang, semalam.

KLUANG – Seorang pesara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) meninggal dunia selepas konvoi motosikal disertai terlibat kemalangan di Kilometer 76 Jalan Batu Pahat-Mersing semalam.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, kejadian berlaku pada pukul 11.20 pagi ketika Adnan Ab Manaf, 59, yang menunggang motosikal Yamaha Y16ZR berkonvoi dari Bukit Rambai, Melaka ke Mersing.

“Ketika sampai di lokasi kejadian, motosikal ditunggang mangsa dikatakan hilang kawalan dan menggelongsor ke laluan bertentangan sebelum terjatuh ke atas jalan.

“Akibat kemalangan itu, mangsa yang tidak mengalami kecederaan teruk pada bahagian luaran badan telah dirujuk ke Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) di sini untuk mendapatkan rawatan.

“Bagaimana pun, kira-kira pukul 2.30 petang, pihak polis dimaklumkan bahawa mangsa telah meninggal dunia pada pukul 1.15 petang sebelum proses bedah siasat dilakukan bagi mengenal pasti punca sebenar kematian,” katanya melalui kenyataan hari ini.

Beliau berkata, hasil bedah siasat mendapati punca kematian mangsa adalah kerana kecederaan teruk di bahagian dalaman dada mangsa.

Menurutnya, motosikal yang ditunggang mangsa adalah milik anak perempuannya dan kes akan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 bagi mengenal pasti punca kejadian sebenar.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast