JOHOR BAHRU – Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Dr Fuziah Salleh dan Jawatankuasa Disiplin PKR masih belum menerima aduan berkenaan Datuk Seri Rafizi Ramli yang menyertai Himpunan Tangkap Azam Baki di ibu negara semalam.
Ketua Penerangan PKR, Datuk Fahmi Fadzil berkata, sebarang bentuk tindakan disiplin masih belum diambil kerana sehingga kini tidak menerima sebarang aduan berkenaan perkara tersebut.
“Saya tak lihat benda itu… mungkin akan ada yang bawa (buat aduan) tapi saya tak merasakan… kita belum bincang lagi jadi saya rasa masih terlalu awal untuk saya sebut apa-apa.
“Dia ada hak untuk melaksanakan (menyertai demontrasi) apa yang dia rasa dia nak lakukan daripada segi (sertai demontrasi dibenarkan) di bawah Perlembagaan.
“Memang rakyat Malaysia ada hak untuk berhimpun dan semalam kita dengar Ketua Polis Kuala Lumpur mengatakan dalam 150 hingga 200 orang dikumpulkan dan yang hadir tidak berlaku apa-apa insiden yang mencemaskan ataupun mengganggu keselamatan.
“Jadi tidak menjadi isu, rakyat Malaysia mempunyai hak untuk berhimpun. Tak menjadi masalah,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Jelajah Ramadan Edisi ke-14 di Pasar Tani Datin HalimHt, Larkin di sini hari ini.
Semalam, Rafizi yang juga bekas Menteri Ekonomi dan bekas Timbalan Presiden PKR itu menyertai dan memberi ucapan dalam perhimpunan tersebut yang turut disertai bekas-bekas ahli PKR lain.
Ahli Parlimen Pandan itu menegaskan, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki tidak sepatutnya terus memegang jawatan berikutan kontroversi pemilikan saham yang didedahkan sebelum ini.
Rafizi berkata, himpunan yang berlangsung itu hanya untuk menguji reaksi kerajaan terhadap isu terbabit dan sekiranya kerajaan masih enggan menggantung Azam serta melaksanakan siasatan bebas, protes akan diteruskan.
Mengulas lanjut, Fahmi yang juga Menteri Komunikasi berkata, pada masa sama, pihak penguat kuasa sudah mengambil tindakan tegas terhadap perasuah dan kumpulan kartel yang terbabit sama ada mereka menyeludup dadah atau kegiatan lain.
Malah, katanya, jumlah tangkapan dan rampasan ketika ini adalah paling tinggi dalam sejarah negara termasuk membanteras kegiatan penipuan pelaburan membabitkan MBI International Group (MBI).
Jelasnya yang juga Jurucakap kerajaan Perpaduan, MBI terlibat dalam kegiatan haram cucian wang haram yang sudah sekian lama dan penghargaan perlu diberi atas kejayaan tersebut.
“Memang tidak ada mana-mana badan badan (penguat kuasa) yang sempurna, saya tidak sempurna, PM tidak sempurna, Rafizi Ramli tidak sempurna. Ramadan adalah bulan di mana kita diajar munasabah kelebihan dan kelemahan diri masing-masing.
“Jadi, saya harap saudara Rafizi juga dalam bulan Ramadan akan bermuhasabah dan Azam juga akan bermuhasabah sama seperti saya juga akan bermuhasabah tapi daripada segi parti,” ujarnya.
Beliau berkata, sebelum perhimpunan tersebut Jemaah Menteri sudah mengumumkan satu pembentukan jawatankuasa khas bagi menyiasat segala dakwaan dan perkara berbangkit yang dikaitkan dengan Azam.
Jawatankuasa itu, katanya, sangat terbuka dam Azam sedia untuk disiasat. – MalaysiaGazette
















