KUALA LUMPUR – Kira-kira 750 liter minyak diesel yang diisi dalam dua buah tong drum disita selepas sebuah kenderaan pacuan empat roda ditahan di Plaza Tol Kuantan oleh Pasukan Peronda Lebuhraya Pantai Timur, Polis Diraja Malaysia, hari ini.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Pahang, Jezlily Jamaluddin berkata, kenderaan yang dipandu lelaki tempatan itu ditahan selepas dia didapati memandu dalam keadaan mencurigakan di Plaza Tol Kuantan.
Susulan itu, kenderaan berkenaan disita dan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM42,340.
“Hasil pemeriksaan menyeluruh mendapati individu berkenaan disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 [Akta 122], serta melanggar Subperaturan 18(1) Peraturan-peraturan Kawalan Bekalan 1974, mengguna atau mengambil mana-mana barang berjadual melebihi kuantiti yang dibenarkan seperti dijadual tanpa pemit.
Jezlily memberi amaran tegas kepada mana-mana individu atau syarikat agar sentiasa mematuhi peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
Kata beliau, mana-mana pihak yang melakukan kesalahan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 [Akta 122], jika disabitkan kesalahan, boleh dikenakan denda tidak melebihi RM1 juta bagi kesalahan pertama dan tidak melebihi RM3 juta bagi kesalahan berikutnya, atau penjara tidak melebihi tiga tahun, atau kedua-duanya sekali bagi individu.
Bagi syarikat pula, jika disabitkan kesalahan, boleh dikenakan denda tidak melebihi RM2 juta bagi kesalahan pertama dan tidak melebihi RM5 juta bagi kesalahan berikutnya.
Katanya, KPDN akan terus mempergiat operasi penguatkuasaan dari semasa ke semasa bagi memastikan pematuhan terhadap undang-undang serta membanteras sebarang aktiviti penyelewengan barang kawalan demi melindungi kepentingan pengguna dan negara. – MalaysiaGazette















