MUAR – Tindakan tiga lelaki melarikan diri dengan dua kenderaan selepas mencuri kabel milik Telekom tidak berhasil apabila terbabas sebelum berjaya diberkas dalam kebun kelapa sawit di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, kejadian tersebut bermula apabila pusat kawalan daerah Muar menerima panggilan Mers 999 pada pukul 2.51 pagi memaklumkan aktiviti mencurigakan.
Beliau memberitahu, aktiviti berkaitan kecurian kabel dikesan berlaku berhampiran Jambatan Parit Kassim, Jalan Temenggong Ahmad, Parit Jawa di sini.
“Susulan maklumat itu anggota rondaan dari Balai Polis Parit Jawa digerakkan ke tempat kejadian sebelum mengesan dua kenderaan yang dipercayai digunakan suspek.
“Kedua-dua kenderaan terbabas masuk ke dalam parit ketika cuba melarikan diri sebail menyedari kehadiran polis,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, seorang lelaki berusia 35 tahun berjaya diberkas di lokasi kejadian manakala yang lain melarikan diri.
Katanya, hasil tindakan susulan anggota dari Bahagian Siasatan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) berjaya mengesan dua suspek tersebut iaitu lelaki tempatan dan ditahan pada hari yang sama di kawasan ladang kelapa sawit berhampiran.
Menurut beliau, ketiga-tiga suspek dibawa ke Mahkamah Majistret di sini hari ini dan dibenarkan untuk ditahan reman selama empat hari bagi membantu siasatan.
“Ujian saringan air kencing mendapati ketiga-tiga suspek positif dadah jenis methamphetamine,” ujarnya.
Pihaknya percaya masih terdapat beberapa lagi suspek yang terlibat dan usaha mengesan mereka sedang giat dijalankan.
Dalam operasi itu, polis merampas kenderaan Mitsubishi Triton dan Honda City Hatchback, 86 batang kabel pelbagai ukuran, beberapa telefon bimbit, peralatan pembotong kabel serta barangan lain yang digunakan dalam aktiviti jenayah.
“Pasukan Forensik D10 Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor turut menjalankan pemeriksaan bagi proses pengumpulan bahan bukti di lokasi dan kenderaan terlibat,” katanya.
Raiz Mukhliz berkata, kes disiasat bawah Seksyen 379 dan Seksyen 431A Kanun Keseksaan serta Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.- MalaysiaGazette
















