JOHOR BAHRU – Kerajaan negeri menafikan krisis air yang sedang berlaku di Benut, Pontian dan Simpang Renggam, Kluang berpunca daripada pembangunan pusat data.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi negeri, Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata, dakwaan itu tidak benar, tidak berasas dan merupakan satu fitnah.

Jelas beliau, masalah gangguan bekalan air berpunca daripada kemarau sehingga mengakibatkan empangan sedia ada menyusut kapisiti airnya.

“Untuk makluman, bekalan air bagi kawasan Simpang Renggam dan Benut disalurkan melalui Loji Rawatan Air (LRA) Simpang Renggam yang memproses air mentah dari Sungai Ulu Benut dengan sokongan sumber dari Empangan Machap.

“Keupayaan maksimum loji ini adalah 64 juta liter sehari (MLD). Gangguan bekalan air berjadual yang sedang dilaksanakan ketika ini adalah berpunca daripada penyusutan paras sumber air mentah akibat kemarau berpanjangan sebelum ini.

“Walaupun hujan telah mula turun, paras air sungai dan empangan masih belum kembali ke tahap optimum” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau mengulas dakwaan yang tular dalam media sosial bahawa punca gangguan bekala air di negeri ini akibat pembangunan pusat data.

Mengulas lanjut, Mohamad Fazli berkata, bagi membolehkan LRA Simpang Renggam beroperasi pada kapasiti penuh 64 MLD menggunakan empat pam, paras intake Sungai Benut perlu melebihi 4.90 meter.

Ketika ini katanya, paras air direkodkan sekitar 4.66 meter iaitu masih di bawah tahap operasi optimum.

Keadaan itu ujarnya, mengehadkan penggunaan pam sepenuhnya dan menjejaskan pengeluaran air terawat sekali gus memerlukan pelaksanaan bekalan air berjadual bagi memastikan agihan yang lebih adil dan seimbang kepada pengguna.

Menurutnya, sebagai langkah mitigasi segera, kerajaan negeri bersama-sama Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) sudah melaksanakan operasi pembenihan awan di kawasan tadahan utama termasuk Empangan Upper Layang, Empangan Pulai dan Empangan Machap bagi meningkatkan peluang hujan dan mempercepat pemulihan paras air mentah.

“Berhubung dakwaan yang mengaitkan isu ini dengan pusat data, ingin ditegaskan bahawa tiada pusat data menerima bekalan air di kawasan Simpang Renggam dan Benut dan kawasan tersebut juga bukan lokasi pembangunan pusat data,” katanya.

Kerajaan negeri katanya, komited memastikan kestabilan bekalan air untuk rakyat di samping memastikan setiap pembangunan industri di Johor dilaksanakan secara terkawal, berhemah dan bertanggungjawab.

Beliau menasihatkan orang ramai agar merujuk kepada maklumat rasmi daripada pihak berkuasa dan tidak menyebarkan spekulasi yang boleh menimbulkan kekeliruan serta keresahan dalam kalangan masyarakat.

Pada Isnin lalu, media melaporkan krisis bekalan air semakin meruncing apabila Sungai Benut mencapai paras minimum, manakala Empangan Machap di bawah paras operasi selamat menyebabkan Loji LRA Simpang Renggam hanya mampu beroperasi sekitar 34 peratus kapasiti.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dilaporkan berkata, situasi disebabkan musim kemarau berpanjangan, namun kerajaan negeri sedang menggerakkan pelbagai inisiatif bagi mengurangkan kesan kepada rakyat.

Onn Hafiz yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Machap berkata, ketika ini kerajaan melaksanakan pengukuhan operasi LRA Yong Peng yang mampu menyalurkan tambahan empat juta liter sehari bagi membantu menstabilkan bekalan air.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast