Tangkap layar video yang tular memaparkan MPV polis bergesel dengan kereta awam di Jalan Paya Panjang, Bukit Pasir, Muar, kelmarin.

MUAR – Tular satu video yang memaparkan kereta peronda polis (MPV) terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kereta awam di Jalan Paya Panjang, Bukit Pasir di sini kelmarin.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, pihaknya mengesan video tular berdurasi 10 saat dalam media sosial.

“Hasil siasatan mendapati kejadian berlaku kira-kira pukul 10 pagi pada 15 Februari lalu semasa kereta polis sedang menjalankan tugas eskot rasmi di kawasan tersebut.

“Kenderaan polis jenis Honda Civic (Spanco) bergesel dengan sebuah kereta Perodua Bezza dari arah bertentangan. Tiada kecederaan dilaporkan dan kedua-dua kenderaan hanya mengalami kerosakan kecil pada bahagian cermin sisi serta pintu kenderaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, siasatan lanjut dijalankan menerusi semakan video papan pemuka serta rakaman percakapan saksi mengikut Peraturan 10, Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959.

Tambah Raiz, video tersebut telah menerima perhatian ramai dengan pelbagai spekulasi serta komen warganet.

“Saman telah dikeluarkan kepada pemandu kenderaan PDRM pada hari kejadian.

“Orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak tepat berkaitan kejadian ini,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast