Asisten Komisioner Tan Seng Lee,

KULAI – Seorang pengurus syarikat berputih mata apabila kerugian RM137,600 setelah ditipu dalam urusan tender projek pembekalan mesin janakuasa elektrik untuk institusi latihan di Tangkak.

Ketua Polis Daerah Kulai, Asisten Komisioner Tan Seng Lee berkata, mangsa iaitu seorang wanita tempatan berusia 32 tahun mendakwa syarikatnya mengalami kerugian selepas ditipu individu terbabit.

“Pihak syarikat bersetuju untuk membeli enam unit mesin janakuasa mudah alih bersama-sama empat unit bateri dengan jumlah keseluruhan bernilai RM137,600 selepas tertarik dengan tawaran tender berkenaan.

“Mangsa membuat tiga transaksi pembayaran berjumlah RM137,600 ke dalam satu akaun bank tempatan bermula Selasa hingga Jumaat lalu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Seng Lee berkata, mangsa mula berasa curiga sebelum menghubungi pihak Institut Latihan Perindustrian Tangkak bagi mendapatkan pengesahan lanjut berhubung tender tersebut.

Hasil semakan ujarnya, mendapati tiada sebarang tender dikeluarkan bagi pembekalan mesin janakuasa dan kabel elektrik seperti yang didakwa suspek.

Tambahnya, mangsa tampil membuat laporan polis semalam untuk tindakan lanjut setelah menyedari dirinya diperdaya.

Sehubungan itu, pihaknya menasihatkan orang ramai agar tidak mudah terpedaya dengan tawaran tender projek yang meragukan serta membuat semakan terperincisebelum melakukan sebarang pembayaran.

Tambahnya, kes kini disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast