Naib Ketua Bersekutu Bersatu Malaysia, Datuk Sri Sanjeevan
Naib Ketua Bersekutu Bersatu Malaysia, Datuk Sri Sanjeevan

KUALA LUMPUR – Sayap Bersekutu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menegaskan lebih 30,000 ahlinya di seluruh negara kekal bersatu dan tidak berbelah bahagi menyokong kepimpinan Presiden Pengasas parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Sokongan itu tetap kekal walaupun Ketua Sayap Bersekutu, Dr Chong Fatt Full sudah umum peletakan jawatan baru-baru ini.

Naib Ketua Sayap Bersekutu Bersatu merangkap Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT), Datuk Sri Sanjeevan Ramakrishnan berkata, sayap itu kekal berfungsi seperti biasa dan tidak terjejas dengan perkembangan berkenaan.

“Kami menghormati keputusan individu termasuk Dr Chong yang memilih untuk berundur kerana ia merupakan pilihan peribadi. Dalam organisasi besar, keluar masuk ahli adalah perkara biasa,” katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, peletakan jawatan beberapa individu tidak menjejaskan kekuatan dan kestabilan Sayap Bersekutu yang terus bergerak secara tersusun di seluruh negara.

Sanjeevan berkata, sayap itu juga kekal teguh menyokong kepimpinan Muhyiddin yang disifatkannya sebagai tonggak utama pembinaan parti sejak penubuhan Bersatu.

“Beliau merupakan pengasas Bersatu dan asas perjuangan parti ini dibina sejak hari pertama di bawah kepimpinannya,” katanya.

Beliau turut memberi amaran bahawa sebarang cubaan, gerakan tersusun atau konspirasi untuk melemahkan kedudukan presiden parti akan ditentang sepenuhnya.

“Perbezaan pandangan boleh diraikan dalam semangat demokrasi, tetapi usaha untuk melemahkan institusi presiden tidak akan kami biarkan,” tegasnya.

Sanjeevan menegaskan, perjuangan parti tidak bergantung kepada emosi atau kepentingan individu tertentu sebaliknya berpaksikan prinsip, kesetiaan dan disiplin organisasi.

“Kami mendoakan yang terbaik kepada mereka yang memilih haluan berbeza, namun Sayap Bersekutu akan terus melangkah ke hadapan secara matang, profesional dan tenang,” katanya.

Tambahnya, kekuatan sebenar dalam politik bukan terletak pada suara yang paling lantang, sebaliknya pada kesetiaan mempertahankan perjuangan parti. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast