KOTA KINABALU – Kem Reka Bentuk Multidisiplin Pelajar Antarabangsa (ICAPS) 2026 ke-25 yang julung kali diadakan di rantau Borneo baru-baru ini telah berjaya menghimpunkan pelajar pelbagai negara bagi membangunkan penyelesaian inovatif pelbagai disiplin.

Program anjuran Program Alam Bina, Fakulti Kejuruteraan (FKJ), Universiti Malaysia Sabah (UMS) itu diadakan di Nexus Resort, Karambunai dengan kerjasama Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) serta 17 universiti antarabangsa lain.

Kem tahunan berkenaan menghimpunkan pelajar pelbagai disiplin dari Malaysia, Indonesia, Singapura, Taiwan, Vietnam dan Korea Selatan bagi membangunkan penyelesaian inovatif berteraskan teknologi menerusi tema “Teknologi ke Arah Start-
up untuk Perniagaan Kecil”.

Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Inovasi) FKJ, Prof. Dr. Willey Liew Yun Hsien dalam ucapan perasmiannya sempena program tersebut menggalakkan peserta memupuk kreativiti, kerjasama silang budaya dan pendekatan penyelesaian masalah
yang bermakna.

Sepanjang program ini juga katanya peserta terlibat dalam bengkel, pembangunan reka bentuk serta sesi pembinaan prototaip sebelum membentangkan cadangan projek masing-masing yang berfokus kepada sokongan pertumbuhan perniagaan
kecil.

Antara universiti yang mengambil bahagian ialah Institut Teknologi Bandung (ITB), Institut Teknologi Sepuluh Nopember (ITS), Universitas Muhammadiyah Surakarta, Nanyang Technological University (NTU), National Cheng Kung University, Hanoi University of Science and Technology serta beberapa universiti dari Korea Selatan termasuk Jeonbuk National University, Chungnam National University dan Jeju
National University.

Dalam pada itu, Dekan FKJ, Prof Madya Ir. Dr. Abu Zahrim Yaser dalam ucapan penutupan kem itu menekankan kepentingan inovasi, kerjasama strategik dan reka bentuk berfokuskan komuniti dalam mendepani cabaran global.

Hadir sama pada program tersebut Penyelaras Program Alam Bina, Prof. Ar. Nurakmal Abdullah @ Goh Tuo Ho. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast