BULAN Ramadan merupakan bulan yang penuh keberkatan dan sentiasa dinanti-nantikan oleh umat Islam kerana di dalamnya terdapat peluang untuk menggandakan ibadah, membersihkan jiwa serta membentuk disiplin diri.
Namun, dalam keghairahan menyambut Ramadan, terdapat beberapa aspek penting yang perlu diberi perhatian, khususnya berkaitan pemakanan halal, mengelakkan pembaziran dan sikap berhatihati terhadap perkara yang syubhah.
Ramadhan bukan sekadar menahan lapar dan dahaga, tetapi merupakan madrasah tarbiah yang mendidik umat Islam agar menjadi hamba yang lebih bertaqwa.
Antara elemen penting dalam pembentukan taqwa ialah memastikan setiap makanan yang masuk ke dalam tubuh adalah halal dan baik.
Hal ini selari dengan perintah Allah agar manusia memakan makanan yang halal lagi baik, kerana apa yang dimakan akan memberi kesan kepada ibadah, akhlak dan kehidupan seseorang.
Setiap kali menjelang Ramadan, bazar Ramadan merupakan antara tempat utama yang menjadi tumpuan masyarakat. Pelbagai juadah menarik ditawarkan dan suasana meriah sering kali mengundang keghairahan untuk membeli pelbagai jenis
makanan.
Dalam hal ini, umat Islam perlu lebih berwaspada dan mengutamakan aspek halal ketika membuat pembelian.
Bukan sekadar melihat kepada rupa makanan yang menarik atau harga yang murah tetapi memastikan bahan, cara penyediaan serta penjual makanan tersebut mematuhi prinsip halal dan kebersihan.
Oleh itu, sikap sambil lewa terhadap halal tidak seharusnya dipandang ringan dalam usaha menghayati ibadah puasa dengan sebaiknya.
Dalam konteks berbuka puasa di hotel atau premis makanan berskala besar, umat Islam juga perlu lebih peka dan bertanggungjawab dalam membuat pilihan.
Pemilihan hotel atau restoran yang mempunyai sijil halal yang sah amat penting bagi mengelakkan diri daripada mengambil makanan yang tidak diketahui status halalnya.
Sijil halal bukan sekadar logo tetapi ia merupakan jaminan bahawa keseluruhan rantaian penyediaan makanan mematuhi piawaian halal yang ditetapkan.
Sikap mengambil mudah dengan alasan ‘sekadar berbuka’ atau ‘sekali-sekala’ perlu dielakkan kerana komitmen terhadap halal seharusnya menjadi amalan yang konsisten dalam kehidupan seharian orang Islam.
Selain itu, budaya pembaziran makanan juga sering berlaku sepanjang bulan Ramadan. Ada yang membeli makanan secara berlebihan ketika di bazar namun akhirnya makanan tersebut tidak dihabiskan dan terpaksa dibuang.
Pembaziran bukan sahaja bertentangan dengan ajaran Islam, malah mencerminkan kegagalan menghayati roh Ramadan yang sebenar.
Islam menekankan prinsip kesederhanaan dalam semua perkara, termasuk dalam urusan makan dan minum. Oleh itu, umat Islam diseru agar merancang pembelian dengan bijak dan menghargai rezeki yang telah dikurniakan oleh Allah.
Di samping itu, umat Islam juga dituntut untuk menjauhkan diri daripada perkara yang syubhah khususnya dalam urusan pemakanan.
Makanan yang status halalnya tidak jelas, sama ada dari segi sumber bahan, penyediaan atau pengendalian wajar dielakkan sebagai langkah berhati-hati.
Menjauhi syubhah bukan sahaja menjaga kesucian ibadah, malah melatih diri untuk lebih berdisiplin dan berhati-hati dalam membuat pilihan.
Kesimpulannya, Ramadan adalah bulan yang mendidik umat Islam agar menjadi insan yang lebih bertaqwa, beretika dan bertanggungjawab.
Mengutamakan makanan halal, mengelakkan pembaziran, memilih premis yang mempunyai sijil halal serta menjauhkan diri daripada perkara syubhah merupakan antara manifestasi sebenar
penghayatan Ramadan.
Semoga Ramadan yang bakal tiba menjadi titik tolak kepada pembentukan gaya hidup yang lebih berdisiplin, beretika dan selari dengan ajaran Islam.
Muhammad Afif Zakwan Azhar
General Studies Department, CCE, Sunway College
















