KUANTAN – Tiga warga Vietnam didenda RM128.9 juta serta penjara 12 tahun selepas didapati bersalah menyimpan hampir 1,000 bahagian hidupan liar pelbagai spesis tanpa permit.
Hukuman itu dibacakan Hakim Maimoonah Aid di Mahkamah Sesyen Kuantan hari ini terhadap 15 pertuduhan dihadapi ketiga-tiga mereka.
Bui Thi Ngan, 54; Bui Van Noi, 46; Bui Van Anh, 36 sebelum itu didakwa secara bersama menyimpan bahagian hidupan liar pelbagai spesis yang dilindungi sepenuhnya di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar itu tanpa permit khas.
Mereka didakwa di bawah Seksyen 68(1)(b) Akta 716 yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 68 (1) Akta Pemuliharaan Hidupan Liar (Pindaan) 2022, serta Seksyen 60 (1) (b) akta sama yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 60 (1) akta sama.
Senarai bahagian hidupan liar itu meliputi antaranya 492 bahagian beruang matahari, 273 bahagian harimau kumbang, 67 bahagian babi hutan, 54 bahagian harimau belang, 29 unit duri landak raya, 20 bahagian harimau dahan, 11 bahagian tenggiling, serta 8 bahagian kucing tulap.
Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah premis kediaman di Jalan Sungai Lembing, Kampung Sungai Charu, Panching di sini pada 15 November 2023 kira-kira jam 7 malam.
Bagaimanapun, mahkamah menetapkan keseluruhan denda berjumlah RM128.9 juta dan 104 bulan penjara jika gagal membayar denda dan hukuman penjara maksimum 12 tahun bermula tarikh penahanan mereka.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Amanina Mohamad Anuar, manakala ketiga-tiga warga Vietnam itu diwakili Peguam, Datuk Zaharman Zainal Abdidin. – MalaysiaGazette
















