KUALA LUMPUR – Ketua Hakim Negara, Datuk Seri Wan Ahmad Farid Wan Salleh mewakili Badan Kehakiman Malaysia dan seluruh warga kerjanya mengucapkan takziah kepada seluruh keluarga Tun Abdul Hamid Mohamad yang meninggal dunia hari ini.
Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, Abdul Hamid yang merupakan Ketua Hakim Negara pada 1 November 2007 hingga 17 Oktober 2008 telah banyak berjasa kepada Badan Kehakiman Malaysia sepanjang tempoh perkhidmatan Allahyarham.
“Sesungguhnya kepulangan Allahyarham ke Rahmatullah merupakan satu kehilangan besar yang amat dirasai oleh seluruh warga kehakiman khasnya dan negara amnya,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan Tun Abdul Hamid meninggal dunia pada usia 84 tahun hari ini, berdasarkan maklumat daripada keluarga, namun butiran lanjut mengenai punca kematian Allahyarham belum didedahkan.
Difahamkan jenazah Allahyarham masih berada Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) dan proses pengebumian dijangka dilaksanakan di Tanah Perkuburan Islam Putrajaya Presint 20 selepas solat Asar hari ini. – MalaysiaGazette
















