Foto: FB Firdaus Wong Wai Hung.

KUALA LUMPUR – Multiracial Reverted Muslims (MRM) memohon Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memberikan penjelasan lanjut terhadap percanggahan fakta berhubung tindakan ke atas mereka supaya isu itu tidak terus disalah tafsir oleh masyarakat.

Antaranya berkenaan isu lesen dan pematuhan yang mana sekiranya benar berlaku pelanggaran peraturan seperti yang didakwa, MRM sebagai organisasi yang menghormati undang-undang akan mengaku dan membayar kompaun sewajarnya.

Pengerusinya, Muhammad Azim Abdullah Suhaimin berkata, sepanjang 14 tahun Street Dakwah dijalankan, tiada larangan rasmi atau kompaun pernah dikeluarkan kepada MRM termasuk pada hari kejadian barang-barang dakwah mereka disita.

Malah, beliau sendiri hadir ke Jabatan Perlesenan dan Pembangunan Perniagaan DBKL untuk bertanya secara langsung dan jawapan yang diberikan ketika itu jelas iaitu tiada lesen diperlukan kerana tiada urusan perniagaan dijalankan serta aktiviti dilakukan di ruang awam dan bukan di dalam premis perniagaan.

Tambahnya, penjelasan juga perlu dibuat berhubung kenyataan DBKL bahawa tindakan ke atas MRM diambil atas alasan reruai menghalang laluan awam.

Katanya, lokasi yang digunakan adalah kawasan yang sama digunakan oleh kumpulan buskers hampir setiap hari selepas aktiviti MRM tamat.

“Lokasi yang sama juga digunakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan menyanyi lagu “Dunia Indah Bersama” bersama buskers dalam aktiviti turun padang Street Dakwah santai pada 30 Januari 2026.

“Jika benar lokasi tersebut dikategorikan sebagai menghalang laluan, maka garis panduan penguatkuasaan perlu dilaksanakan secara konsisten dan menyeluruh terhadap semua pihak,” katanya.

Tambah beliau, pihaknya juga memandang serius kenyataan pihak DBKL yang menunggu 30 minit ketika kejadian dan tiada wakil MRM tampil memberi kerjasama.

Sedangkan, ujar beliau, sukarelawan MRM berada di lokasi setelah urusan ke tandas selesai dan wujud interaksi dengan pegawai DBKL sebelum rantai keselamatan di reruai dibuka dengan kerjasama wakil MRM.

Tegasnya, MRM menghormati dan mendaulatkan undang-undang dan tidak memanipulasi isu itu menjadi polemik perkauman atau agama, selain tidak memainkan naratif mangsa.

Namun, MRM berhak mempertahankan integriti organisasi apabila kenyataan yang dikeluarkan memberi gambaran yang tidak tepat, ujarnya.

Jelas beliau, kehadiran MRM di ruang awam juga bukan sekadar aktiviti dalaman organisasi, tetapi menjadi ruang interaksi terbuka antara masyarakat pelbagai latar belakang; Muslim dan bukan Muslim; warga tempatan dan pelancong.

“Melalui pendekatan dialog terbuka, banyak salah faham terhadap Islam dan budaya masyarakat Malaysia dapat diperbetulkan secara langsung, bukan hanya melalui persepsi media sosial atau gambaran terhad.

“Malahan terdapat pelancong yang kembali berkunjung ke Malaysia semata-mata untuk ke reruai MRM pada tahun-tahun berikutnya hasil interaksi awal mereka bersama kami,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast