GEORGE TOWN – Cadangan pembinaan Lebuhraya Pan Island Link 1 (PIL 1) yang melibatkan peruntukan awam sehingga RM1.56 bilion tidak menyelesaikan punca sebenar kesesakan lalu lintas di Pulau Pinang, kata Pengerusi MUDA negeri, Andika Putera.
Menurut beliau, penerusan projek itu mencerminkan kegagalan kerajaan negeri menangani masalah kesesakan secara menyeluruh dan berpaksikan kepentingan rakyat.
Katanya, masalah kesesakan di Pulau Pinang tidak boleh diselesaikan hanya melalui pembinaan lebuh raya baharu kerana punca utama ialah pembangunan tidak seimbang, kepadatan penduduk tinggi di kawasan tertentu, serta kelemahan sistem pengangkutan awam yang masih gagal menjadi pilihan utama rakyat.
“Kita tidak boleh terus bergantung kepada pembinaan lebuh raya baharu. Pendekatan ini lapuk dan telah terbukti gagal di banyak bandar besar di seluruh dunia.
“Penambahan kapasiti jalan tidak akan mengurangkan kesesakan, malah berisiko memburukkan keadaan melalui fenomena induced demand, di mana jalan yang diperluaskan akan menarik lebih banyak kenderaan persendirian.
“Akhirnya, rakyat tetap terperangkap dalam kesesakan yang sama, dengan kos lebih tinggi kepada alam sekitar dan kewangan awam,” katanya dalam kenyataan media di sini.
Andika turut menegaskan, cadangan PIL 1 menimbulkan kebimbangan serius terhadap kesan alam sekitar, termasuk pencerobohan kawasan hijau dan berbukit serta risiko jangka panjang terhadap kelestarian ekologi Pulau Pinang.
“Pembangunan yang mengorbankan alam sekitar demi penyelesaian jangka pendek adalah tidak bertanggungjawab dan bercanggah dengan prinsip pembangunan mampan.
“Justeru MUDA Pulau Pinang menggesa kerajaan negeri menilai semula cadangan pembinaan PIL 1 secara telus, melibatkan rundingan awam, serta mengutamakan penyelesaian jangka panjang yang benar-benar meningkatkan kualiti hidup rakyat,” katanya.
Media pada Januari lalu melaporkan Projek Lebuhraya Pan Island Link 1 (PIL 1) merupakan projek infrastruktur penting yang bertujuan menyokong matlamat perancangan bandar jangka panjang Pulau Pinang, mengatasi kesesakan lalu lintas, dan meningkatkan ketersambungan di seluruh pulau.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Pengangkutan dan Pembangunan Digital negeri Zairil Khir Johari berkata, projek itu merupakan asas bagi pertumbuhan dan pembangunan mampan di negeri itu.
“Pembangunan bandar Pulau Pinang yang pesat terutama pengembangan ke arah selatan dari George Town, telah melebihi keupayaan rangkaian jalan sedia ada,” katanya. – MalaysiaGazette
















