TANGKAP layar video tular di media sosial yang dikaitkan dengan kejadian dera terhadap seorang kanak-kanak perempuan.

 

KUALA LUMPUR – Lelaki yang tular di dalam video yang dikaitkan dengan kejadian dera terhadap seorang kanak-kanak perempuan sudah dihadapkan ke Mahkamah Kuala Lumpur pada 26 Disember tahun lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, suspek berusia 32 tahun yang juga bapa tiri kepada mangsa ditahan pada 20 Disember tahun lalu selepas polis menerima laporan berkenaan kejadian itu daripada ibu mangsa pada pukul 1.48 petang sehari sebelumnya.

“Kejadian berlaku di sebuah kediaman dan sekitar Setapak, Kuala Lumpur.

“Pengadu telah melihat beberapa rakaman video yang menunjukkan suspek telah melakukan penderaan mental dan fizikal terhadap mangsa.

“Kes telah disiasat dibawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, tular di dalam media sosial rakaman video berdurasi dua minit yang memaparkan seorang lelaki bertindak memukul, mengasari dan menendang serta mengarahkan kanak-kanak perempuan berlari berulang-alik.

Video itu turut dimuat naik menerusi laman sosial Instagram pempengaruh capricedaddycap.

Video itu mengundang kemarahan orang ramai yang turut menggesa polis menjalankan siasatan segera dan suspek dikenakan tindakan tegas.

Sementara itu, Fadil menyarankan orang ramai segera membuat laporan polis terhadap kes penderaan terutamanya melibatkan kanak-kanak.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan atau maklumat boleh menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis yang berdekatan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast