Pelabuhan Pulau Pinang

KUALA LUMPUR – Malaysia merekodkan jumlah perdagangan barangan melebihi RM3 bilion buat kali pertama dan bersejarah tahun lalu, sekali gus mencerminkan daya tahan ekonomi yang luar biasa.

Momentum ini diperkukuh oleh sektor perkhidmatan, yang mencatatkan lebihan dagangan pertama selepas 13 tahun mengalami defisit sejak 2011, sekali gus menandakan kejayaan Malaysia dalam peralihan kepada ekonomi berasaskan perkhidmatan bernilai tinggi.

Lebihan dagangan sebanyak RM1.15 bilion ini menunjukkan perubahan signifikan yang, dipacu oleh prestasi kukuh dalam perkhidmatan perjalanan dan perkilangan.

Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) berkata, pemulihan ini menyokong perdagangan perkhidmatan melepasi paras RM500 bilion buat kali pertama dalam sejarah, dengan rekod tertinggi RM543.01 bilion, meningkat 9.2% berbanding 2024.

Eksport mencatatkan rekod tertinggi sebanyak RM272.08 bilion, meningkat 12%, melebihi import yang meningkat 6.4% kepada RM270.93 bilion.

Prestasi eksport yang kukuh ini menghasilkan lebihan perdagangan keseluruhan sebanyak RM1.15 bilion.

Pertumbuhan eksport ini didorong lonjakan sektor perjalanan, di samping peningkatan kukuh perkhidmatan perniagaan lain, telekomunikasi, perkhidmatan komputer & maklumat, pengangkutan serta perkhidmatan penyelenggaraan dan pembaikan.

Perkhidmatan perjalanan mencatatkan pertumbuhan sebanyak 16% kepada RM110.59 bilion, dipacu oleh 42.2 juta ketibaan antarabangsa, mencatat rekod baharu berbanding 2024.

Telekomunikasi, perkhidmatan komputer dan maklumat naik 27.1% kepada RM27.13 bilion, didorong oleh ekosistem pusat data negara yang semakin berkembang.

Perkhidmatan perniagaan lain juga meningkat 14.1% kepada RM48.66 bilion, mencerminkan permintaan yang meningkat bagi perkhidmatan profesional, pengurusan dan perundingan.

Katanya, perkhidmatan penyelenggaraan dan pembaikan melonjak 34.2% kepada RM7.67 bilion, menandakan integrasi Malaysia yang semakin mendalam dalam rantaian bekalan serantau dan global serta mencerminkan peningkatan permintaan bagi aktiviti perkhidmatan teknikal merentas sempadan.

Matrade berkata, melalui misi perdagangan berimpak tinggi dan Program Sumber Antarabangsa (INSP), memperluas capaian global sektor perkhidmatan Malaysia dengan signifikan.

Usaha strategik untuk meletakkan Malaysia sebagai hab utama bagi perkhidmatan digital, pusat data dan profesional bernilai tinggi, yang dijalankan secara rapat dengan pihak industri, menyumbang kepada perkembangan perdagangan perkhidmatan Malaysia di pasaran antarabangsa.

Pengerusi Matrade, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, prestasi perdagangan perkhidmatan 2025 menandakan detik penting bagi Malaysia.

“Mencapai lebihan perkhidmatan pertama dalam 14 tahun merupakan kejayaan peralihan strategik kita ke arah ekonomi berasaskan pengetahuan bernilai tinggi.

“Dengan jumlah perdagangan mencapai rekod RM543.01 bilion, kami komited untuk mengekalkan momentum ini dengan mempertingkatkan inisiatif promosi eksport di pasaran utama dan baru, selaras dengan strategi pemelbagaian untuk memastikan pertumbuhan mampan bagi pengeksport Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Matrade, Abu Bakar Yusof pula berkata, prestasi luar biasa sektor perkhidmatan pada 2025 juga mencerminkan impak inisiatif eksport sasaran melalui pameran kemampuan tempatan di ekspo antarabangsa ikonik.

Semua acara perdagangan utama berkaitan perkhidmatan ini selaras dengan sektor bernilai tinggi seperti yang ditetapkan dalam Pelan Induk Perindustrian Baru (NIMP) 2030 untuk memastikan sektor perkhidmatan terus menjadi enjin utama kemakmuran negara,” tambah beliau. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast