KUALA LUMPUR – Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Masjid Tanah, Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin, mengumumkan peletakan jawatan berkuat kuasa serta-merta susulan dakwaan hilang kepercayaan terhadap Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Menurut kenyataan media dikeluarkan Bersatu Bahagian Masjid Tanah hari ini, keputusan itu dimaklumkan dalam satu mesyuarat khas selama kira-kira dua jam yang dihadiri Ahli-Ahli Jawatankuasa Bahagian, ketua-ketua sayap serta ketua-ketua cawangan.
“Kami telah mengadakan satu mesyuarat khas dan YB Datuk Wira Ketua Bahagian telah memberi penjelasan tentang perkembangan terkini konflik politik Bersatu,” menurut kenyataan itu.
Kenyataan sama memaklumkan, tindakan tersebut diikuti oleh peletakan jawatan 39 ketua-ketua sayap, Ahli-Ahli Jawatankuasa Bahagian serta ketua-ketua cawangan yang hadir dalam mesyuarat khas berkenaan.
Artikel berkaitan:
- Umum bubar bahagian hanya gimik politik – MPT Bersatu
- Perlembagaan Bersatu tidak benarkan ahli bubarkan bahagian – Tun Faisal
- Dakwaan 4 bahagian Bersatu dibubar tak berasas, bercanggah Perlembagaan – Azmin
Sehubungan itu, Bersatu Masjid Tanah turut merakamkan pendirian sebulat suara bahawa tindakan beramai-ramai tersebut dibuat atas faktor “telah kehilangan kepercayaan” kepada Muhyiddin sebagai presiden.
“Dengan perletakan jawatan kami ini, maka dimaklumkan bahawasanya Jawatankuasa Bersatu Bahagian Masjid Tanah adalah dengan ini terbubar secara rasmi,” menurut kenyataan tersebut.
Perkembangan di Masjid Tanah berlaku ketika Bersatu berdepan rentetan pengumuman peletakan jawatan di peringkat bahagian di beberapa negeri sejak dua hari lalu.
Di Johor, 11 ketua bahagian Bersatu dilaporkan mengumumkan peletakan jawatan susulan krisis kepimpinan yang didakwa berlarutan, melibatkan bahagian Pontian, Simpang Renggam, Sembrong, Mersing, Johor Bahru, Pengerang, Labis, Tanjung Piai, Seri Gading, Ledang dan Pulai.
Sementara itu di Perak, laporan media menyebut empat bahagian – Larut, Tapah, Padang Rengas dan Gopeng – mengumumkan pembubaran jawatankuasa masing-masing, dengan Gopeng dilapor membuat keputusan menerusi mesyuarat khas pada 17 Februari 2026.
Dalam masa sama, wujud kenyataan balas daripada pimpinan Bersatu yang mempertikaikan naratif kononnya beberapa bahagian “terbubar”, termasuk di Johor. Ketua Bersatu Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal dilaporkan menegaskan tiada bahagian Bersatu Johor terbubar setakat ini.
Bersatu juga dilapor menafikan dakwaan ada bahagian terbubar susulan peletakan jawatan ahli jawatankuasa, dan menyifatkannya sebagai tindakan berniat jahat untuk merosakkan imej parti.
Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali turut menafikan berlaku pembubaran bahagian sambil menengaskan sebarang Tindakan seumpaman itu bercanggah dengan perlembagaan parti. – MalaysiaGazette















