Tan Sri Annuar Musa.

KUALA LUMPUR – Pendirian UMNO untuk terus menyokong keberadaan Pakatan Harapan (PH) khususnya DAP mungkin menjadikan hasrat UMNO ke arah penyatuan Melayu sebagai `non starter’ atau tidak ke mana-mana.

Bagaimanapun, Pengerusi Muafakat Nasional (MN), Tan Sri Annuar Musa berkata, UMNO harus diberi peluang untuk `bersilat’ dan `menari’ dalam menjayakan usaha itu, sebagaimana semua pihak sudah `masak’ mengenainya.

Dalam masa sama, ujarnya, ruang yang diberikan kepada UMNO itu juga mempunyai `time line’, namun sekurang-kurangnya Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sudah mendapat mandat daripada parti tersebut ke arah penyatuan Melayu.

Terdahulu, Annuar yang juga Ahli Jawatankuasa Kerja (AJK) Pas Pusat mendakwa, semua parti Melayu di luar kerajaan sudah mempunyai persefahaman dan sedang bekerjasama ke arah penyatuan Melayu.

Antaranya, kata beliau, parti politik seperti Pas; Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu); Pejuang; Putra; Parti Berjasa Malaysia (Berjasa), Muda dan Parti Orang Asal.

Selain itu, tambah beliau, sekurang-kurangnya 12 parti bukan Melayu serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan individu (NGI) turut bersama-sama dalam persefahaman tersebut.

“Sama ada UMNO menyertai atau tidak, 12 parti dan NGO NGI ini tetap mara ke hadapan.

“Namun begitu kita akui penglibatan UMNO akan lebih melengkapkan lagi muafakat ini. Tapi bukan satu kemestian. UMNO tidak “indispensable “,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau.

Dalam masa sama, Annuar menambah, muafakat di peringkat rakyat serta semangat MN sudah pun terbina dan subur sama ada dengan atau tanpa UMNO.

Dakwa beliau, hampir 80 peratus orang Melayu dan umat Islam kini memilih untuk bersama-sama muafakat tersebut.

Sementara itu, tambahnya, UMNO perlu menerima hakikat yang mana kesemua parti politik Melayu-Islam di luar kerajaan menolak DAP.

Sehubungan itu, ujar beliau, sekiranya UMNO masih `mengendong’ DAP seperti sekarang, maka parti itu akan tetap berada di luar gagasan muafakat.

“Terpulang pada UMNO…Soal nama tidak pernah menjadi isu. Yang penting ialah dasar, misi dan visi kebersamaan yang jelas,” katanya.

Tambah beliau, muafakat parti Melayu-Islam itu juga akan memastikan menang 126 kerusi Parlimen pada pilihan raya umum akan datang, belum mengambil kira kerusi di Sarawak yang sudah semestinya akan turut dipelawa ke dalam gagasan itu kelak.

“Bahtera tetap belayar, tapi ruang lebih banyak penumpang dengan destinasi yang sama masih terbuka.

“Tidak perlu tidur sebantal, jika mimpinya lain-lain,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast