SHAH ALAM – Kerajaan Selangor komited untuk memartabatkan pendidikan sebagai tunjang pembangunan bersama ekonomi demi melahirkan generasi mahir, yakin dan berdaya saing global.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkara, guru pula bukan sekadar berperanan sebagai penyampai ilmu tetapi pembentuk jiwa serta pencorak pemimpin masa depan.
Menurut beliau, peranan pendidik perlu terus diperkasa dalam mendepani cabaran dunia yang semakin terhubung bagi memastikan keseimbangan antara nilai jati diri dan keterbukaan global dapat dipertahankan.
“Semakin hari kita menilai siapa diri kita, di mana kedudukan kita dan apakah akar kepada pegangan kita.
“Sebab itu pentingnya dunia pendidikan untuk menetapkan keseimbangan antara memahami latar belakang serta nilai dalaman kita dengan meneruskan keterhubungan dengan dunia luar.
“Jika keseimbangan ini gagal dicapai, masyarakat masa depan akan berdepan cabaran yang lebih besar,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Berbuka Puasa Dato’ Menteri Besar Selangor bersama Komuniti Pendidik Negeri Selangor di Dewan Raja Muda Musa, Seksyen 7 di sini hari ini.
Majlis itu menghimpunkan lebih 1,000 warga pendidik di bawah satu payung, memperkukuh peranan dan tanggungjawab bersama dalam membentuk generasi masa hadapan.
Turut berlangsung empat sesi pertukaran Nota Persefahaman Program Pendidik Yayasan Selangor bersama rakan strategik iaitu TYMBA, DHS Hospitality Academy, ATC College, Taleem (M) Sdn Bhd dan Al Motahida Education Group.
Mengulas lanjut, Amirudin berkata, kerajaan Selangor juga komited untuk memperkukuh kerjasama strategik antara agensi kerajaan, institusi pendidikan, syarikat swasta dan pihak industri Dalam mendepani cabaran era digital dan Revolusi Industri 4.0.
Beliau berkata, kolaborasi itu amat penting bagi memastikan kurikulum dan latihan yang diberikan selari dengan keperluan pasaran kerja serta perkembangan teknologi semasa.
Katanya, melaui kerjasama pintar ini, pelbagai inisiatif telah umumkan berkaitan pendidikan sebelum ini dengan lebih daripada RM130juta diperuntukkan oleh kerajaan negeri bagi memastikan akses pendidikan mencakupi semua lapisan warga Selangor dalam melahirkan anak bangsa yang berdaya saing pada masa hadapan. – MalaysiaGazette
















