Zakaria Dullah

KLUANG – Isu krisis air yang dijadikan polemik oleh Pemuda Pakatan Harapan (PH) Johor berisiko memberi kesan terhadap keyakinan rakyat dan sentimen pelabur di negeri ini.

Timbalan Ketua UMNO Bahagian Simpang Renggam, Datuk Zakaria Dullah berkata, isu tersebut bersifat teknikal dan walaupun penjelasan sudah diberikan kerajaan negeri perkara tersebut masih lagi dipertikaikan.

“Dalam keadaan rakyat baru sahaja melalui tempoh penjadualan bekalan air, mungkin yang lebih membantu ialah menenangkan keadaan, memberi maklumat yang tepat, dan menggalakkan penggunaan berhemah, bukannya menambah persoalan yang sudah pun dijawab secara terbuka.

“Saya ingin bertanya secara jujur dan terus terang, jika fakta teknikal telah dijelaskan, jika struktur agihan telah diperincikan, jika punca kemarau telah diperakui secara umum, maka apakah sebenarnya yang masih mahu dipertikaikan?

“Adakah benar kebimbangan itu bersifat penyelesaian? Atau sekadar mahu memastikan isu ini terus bernyawa dalam ruang politik dangkal,” soalnya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Pada 12 Februari lalu, Pemuda PH mempersoalkan gangguan bekalan air di Simpang Renggam, Machap, Benut dan sebahagian Pontian Utara yang didakwa berpunca daripada projek pusat data.

Pemuda PH Johor juga menggesa penjelasan terbuka dan telus daripada kerajaan negeri berhubung isu tersebut.

Mengulas lanjut, Zakaria berkata, rakyat Johor hari ini tidak lagi menilai berdasarkan pihak paling lantang bersuara.

Mereka dakwanya, menilai siapa yang faham isu, siapa yang bekerja dan siapa yang bertingkah umpama telunjuk lurus kelingking berkait atau berkokok berderai-derai tapi ekor tercalit tahi.

Dalam mengharungi krisis air katanya, semua pihak sepatutnya menjadi penenang, bukan pencetus keresahan.

“Jika benar kita mahu mendidik rakyat tentang tadbir urus yang baik, maka marilah kita bermula dengan memahami fakta sebelum membina naratif yang juling,” ujarnya.

Beliau berkata, apabila membaca kenyataan Pemuda PH itu, menimbulkan persoalan asas adakah sedang membincangkan penyelesaian atau mereka sedang membina persepsi?

Gangguan bekalan air katanya, bukan isu yang boleh dipandang ringan kerana menyentuh keperluan urusan harian rakyat.

“Sebab itu saya percaya isu seperti ini perlu diurus dengan tanggungjawab dan kefahaman yang tepat, bukan dengan naratif herot yang mungkin sedap didengar tetapi kurang tepat dari sudut teknikal.

“YAB Menteri Besar telah pun menjelaskan dengan jelas bahawa tiada pusat data di kawasan agihan Loji Rawatan Air (LRA) Simpang Renggam.

“Pusat data di Sedenak pula menerima bekalan daripada LRA Semangar yang bersumberkan Sungai Johor, bukan daripada Empangan Machap. Mudahnya begini, sistemnya tidak bersambung. Sumbernya tidak sama. Loji rawatannya berbeza,” jelasnya.

Dalam pengurusan air ujar beliau, perkara asas seperti itu sangat penting dan jika tersalah faham struktur teknikalnya, maka mudah untuk mana-mana pihak membuat kesimpulan yang tidak selari dengan realiti sebenar.

Katanya, gangguan yang berlaku berpunca daripada kemarau berpanjangan dan penyusutan paras air mentah, fenomena iru bukan luar biasa dalam konteks perubahan iklim hari ini dan negeri lain juga berhadapan cabaran sama.

“Persoalannya, adakah setiap kali berlaku kemarau kita mahu mencari satu kambing hitam pembangunan untuk dipersalahkan?

“Kerajaan negeri telah melaksanakan Bekalan Air Berjadual sebagai langkah sementara, suatu bentuk pendekatan yang bukan popular sifatnya, tetapi ianya amat perlu. Apabila paras air kembali stabil dan operasi loji pulih, penjadualan dihentikan sepenuhnya. Itu menunjukkan tindakan dibuat berdasarkan data, bukan drama,” katanya.

Beliau tidak menafikan hak mana-mana pihak untuk bertanya kerana dalam demokrasi, soalan itu sihat tetapi pertanyaan yang baik biasanya datang selepas memahami konteks sebenar.

“Kita semua mahukan Johor terus maju sebagai hab pelaburan. Pada masa yang sama, kita juga mahu hak rakyat terhadap perkara asas kehidupan, khususnya bekalan air bersih terjamin,” ujarnya.

Kedua-dua perkara itu kata beliau, tidak bercanggah jika diurus dengan perancangan yang betul.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast