KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim membidas segelintir tokoh agama yang menggunakan kedudukan mereka dengan menimbulkan permasalahan dan perpecahan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum.
Menurut Perdana Menteri, tindakan berselindung di sebalik agama untuk mencetuskan polemik itu hanya akan merosakkan keharmonian serta menjejaskan usaha pembangunan negara.
Sedangkan, ujar beliau, Malaysia sebagai negara yang mana Islam merupakan agama Persekutuan tetap menjamin hak semua kaum serta kebebasan beragama seperti yang termaktub dalam kerangka Perlembagaan.
“Ada orang menggunakan kononnya nama sebagai tokoh Islam, ada pula yang gunakan nama sebagai tokoh Hindu atau tokoh agama lain hanya untuk menimbulkan permasalahan.
“Sedangkan Malaysia ini meskipun umat Islam merupakan majoriti, namun kita terima hak semua kaum dan semua agama dan kita setuju untuk jamin masa depan dengan aman, bersama semua kaum, baru boleh aman.
“Jadi bagi saya majoriti termasuk pemimpin-pemimpin agama itu perlu mengambil sikap positif,” katanya ketika berucap pada Majlis Berbuka Puasa dan Peluncuran Rakan Masjid X Rakan Muda Ramadan di Masjid Wilayah Persekutuan di sini hari ini.
Rakan Muda X Rakan Masjid itu merupakan program hasil kerjasama Kementerian Belia dan Sukan serta Kementerian Hal Ehwal Agama.
Sementara itu, Anwar turut mengingatkan pencapaian memberangsangkan negara seperti pertumbuhan ekonomi, inflasi terkawal dan kadar pengangguran rendah boleh terjejas sekiranya masyarakat terus diheret dengan isu sensitif berasaskan agama dan kaum.
“Kalau kita diheret setiap ketika untuk membicara hal-hal negatif dan titik denyut yang memecahkan, tidak ada negara yang mampu membangun,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menyeru pemimpin agama dan masyarakat mengambil sikap lebih bertanggungjawab dengan menyampaikan mesej damai serta menolak pendekatan kebencian.
Dalam masa sama, beliau memuji semangat toleransi antara kaum termasuk sikap saling menghormati perayaan dan amalan agama masing-masing yang disifatkan keharmonian yang perlu dipertahankan.
“Baru-baru ini kita sambut Tahun Baharu Cina dan masyarakat Cina sanggup mengawalkan sambutan hanya kerana menghormati umat Islam yang akan menyambut bulan Ramadan dan berpuasa, ini semua sikap toleransi yang ditunjukkan,”katanya. – MalaysiaGazette
















