Hassan Abdul Karim

PASIR GUDANG – Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim menegaskan tidak akan mengkhianati Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada pilihan umum (PRU) akan datang walaupun tidak lagi bertanding selepas ini.

Beliau yang juga bekas Pengerusi PKR Johor berikrar akan tetap mempertahankan perjuangan dan membantu PKR semasa berkempen nanti.

Jelasnya, pemimpin boleh datang dan pergi tetapi PKR sukar dicari ganti.

“Saya akan tetap setia pada PKR dan akan berjuang mempertahankan Keadilan supaya tetap menang di Pasir Gudang walaupun saya tidak bertanding lagi sebagai calon dalam PRU-16 akan datang.

“Saya akan berkempen untuk Parti Keadilan Rakyat dalam pilihan raya umum nanti, walau saya sudah uzur. Tak kuat berlari, saya berjalan, tak kuat berjalan, saya bertongkat. Namun mengkhianati PKR tidak sama sekali,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Hassan berkata, walau terdapat perbezaan pandangan dan pendirian dalam beberapa isu dalam kepimpinan PKR tetapi beliau akan tetap berjuang untuk keadilan sebagai anggota biasa.

Sebelum itu, Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli hari dilaporkan berkata, beliau akan mempertahankan kerusi itu pada PRU akan datang tetapi berkemungkinan besar bukan sebagai ahli PKR.

Bagaimanapun, ahli politik kelahiran Besut, Terengganu itu merahsiakan bagaimana cara dia akan bertanding di kerusi itu.

“Saya rasa saya tidak akan bertanding sebagai calon PKR. Saya tetap akan bertanding di Pandan, itu sudah saya putuskan… Bagaimana cara saya bertanding di Pandan, saya rasa itu rahsia,” katanya sambil tertawa dalam satu temu bual bersama Sin Chew Daily.

Bekas Menteri Ekonomi itu menjangkakan pertandingan sengit di kerusi berkenaan namun menegaskan matlamatnya adalah untuk mengekalkan politik progresif berbilang kaum serta melakukan perubahan politik dan bukan menang semata-mata.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast