KUALA LUMPUR – Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menahan seorang lelaki berusia 65 tahun yang disyaki mengaku sebagai Rasul di sebuah premis di Rawang, semalam.
Pengarah JAIS, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata, lelaki berkenaan ditahan bersama tiga individu lain terdiri daripada dua lelaki dan seorang wanita di premis sama.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati lelaki berkenaan menyatakan kepada pengikutnya bahawa beliau telah bertemu dengan Nabi Adam secara nyata pada waktu siang, manakala bertemu dengan Nabi Muhammad SAW dalam bentuk cahaya pada waktu malam.
Selain itu, ujarnya, lelaki tersebut turut mendakwa bertemu dengan para Rasul sebanyak dua hingga tiga kali dalam tempoh seminggu.
Tambahnya, kejadian itu berlaku antara dua hingga tiga tahun lalu di sebuah taman negara, di negara ini.
“Pengikutnya menyatakan bahawa individu tersebut adalah utusan Allah dan segala perlakuannya dianggap oleh pengikut sebagai suruhan Allah seperti tidak perlu solat atau berpuasa jika berasa letih dan uzur,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah beliau, siasatan dan tangkapan kes itu dibuat mengikut Seksyen 7 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 kerana disyaki berlaku suatu upacara atau perbuatan berhubung dengan agama Islam yang bertentangan dengan hukum syarak.
Ujarnya, tindakan juga diambil mengikut Seksyen 8 Enakmen yang sama kerana disyaki mengisytiharkan diri sebagai Rasul serta mendakwa mengetahui suatu perkara yang di luar pemahaman dan pengetahuan manusia.
Dengan tangkapan itu, jelasnya, JAIS dijangka menyelesaikan satu aduan yang mendakwa ada seorang individu mengaku sebagai Rasul dan telah mempengaruhi keluarganya, yang tular pada 9 Februari lalu.
“Sehubungan dengan itu, satu pasukan khas dari Ibu Pejabat JAIS telah diarah serta-merta bagi menyiasat terperinci mengenai perkara tersebut yang telah berjaya membawa kepada tangkapan 4 individu disyaki,” katanya. – MalaysiaGazette
















