KUALA LUMPUR – Ketua Penerangan Badan Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin menyelar MIC yang disifatkan seolah-olah cuba menunggang atau menangguk di air keruh berhubung kematian anggota tentera, Truper K. Indiran.
Menurutnya, sekali pun benar-benar mahu dilihat kembali relevan dalam masa pantas, MIC perlu mencari isu lain yang `lebih cerdik’ dan tidak kelihatan `murah’.
Malah, ujar beliau, sekiranya MIC berhasrat atau telah pun diluluskan permohonan untuk menyertai Perikatan Nasional (PN), isu-isu sebegitu tidak wajar dimainkan seperti yang diamalkan parti politik tertentu.
Sementelah, jelasnya, Kementerian Pertahanan dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sendiri sudah mengeluarkan kenyataan rasmi yang mana kematian anggota tentera berkenaan adalah disebabkan faktor semula jadi, bukannya foul play seperti yang diharapkan pihak-pihak tertentu.
“Pesanan saya pada MIC, apa tunggu lagi? Bila nak buat mesyuarat?
“Kalungkan “Bunga Malai” anda pada Pengerusi PN baharu yang bakal diumumkan hari ini,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini.
Shaiful Hazizy mengulas mengenai gesaan MIC Pulau Pinang supaya siasatan menyeluruh dan telus dijalankan berhubung kematianTruper K. Indiran, 22, di Rejimen Pertama, Kor Armor Diraja, Kem Batu 10, ketika menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan, Pahang.
Menurut Pengerusi MIC Pulau Pinang, J. Dhinagaran, berdasarkan laporan awal bedah siasat dinyatakan tiada kecederaan luaran dikesan, namun ia tidak boleh dijadikan kesimpulan bahawa tiada unsur buli. – MalaysiaGazette
MIC Pulau Pinang mahu bedah siasat kedua dibuat ke atas Indiran
















