GEORGE TOWN – MIC Pulau Pinang menggesa siasatan menyeluruh dan telus dijalankan berhubung kematian anggota tentera, Truper K. Indiran, 22, di Rejimen Pertama, Kor Armor Diraja, Kem Batu 10, ketika menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan, Pahang.
Pengerusinya, J. Dhinagaran berkata, berdasarkan laporan awal bedah siasat dinyatakan tiada kecederaan luaran dikesan, namun ia tidak boleh dijadikan kesimpulan bahawa tiada unsur buli.
”Ini kerana kemungkinan besar wujud kecederaan dalaman yang memerlukan siasatan lanjut.
“Justeru saya menggesa agar bedah siasat kedua dijalankan bagi memastikan kebenaran sebenar dapat didedahkan.
“Saya juga berharap semua pihak kerajaan yang terlibat dapat memberikan kerjasama penuh dan telus demi keadilan untuk keluarga mendiang,” katanya dalam kenyataan yang dimuat naik di Facebooknya.
Mengulas lanjut, beliau berharap polis dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tidak mengambil ringan perkara itu sekali gus tidak membiarkan kes berkenaan berakhir seperti kes Allahyarham adik Zara Qairina di Sabah.
“Mangsa dikatakan telah dimasukkan ke wad hospital tanpa sebarang pemberitahuan awal kepada pihak keluarga sebelum disahkan meninggal dunia.
“Susulan itu, ibu kepada mendiang membuat laporan polis kerana mengesyaki wujud unsur kebulian dalam kes berkenaan.
“Apa yang lebih menyedihkan ialah bapa kepada mendiang, Mejar Kayamboo Chellam dari Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), turut terkorban sebelum ini dalam kemalangan pesawat Beechcraft B200T ketika sedang berkhidmat, sekali gus menjadikan kedua-dua bapa dan anak terkorban ketika menjalankan tugas untuk negara,” katanya.
ARTIKEL BERKAITAN
Jangan cemarkan imej ATM, kematian Indiran bukan kes buli – Ibu
Terdahulu MalaysiaGazette melaporkan, ibu kepada anggota berkenaan, S.Usha menggesa orang ramai menghentikan spekulasi anaknya meninggal dunia disebabkan insiden buli atau didera.
Beliau turut menggesa orang ramai agar tidak mencemarkan nama ATM dengan mengaitkan kematian anaknya dengan tragedi lain memandangkan laporan awal bedah siasat mendapati tiada kesan kecederaan fizikal ke atas mendiang anak sulungnya itu. – MalaysiaGazette
















