GEORGE TOWN – “Jangan cemarkan nama angkatan Tentera Malaysia (ATM),” tegas ibu kepada anggota tentera, Truper K. Indiran, 22, berhubung spekulasi di media sosial yang mengaitkan kematian anaknya berpunca daripada perbuatan buli atau dera.
S. Usha, 52, berkata, beliau sendiri tidak pernah menyatakan bahawa kematian anaknya mempunyai kaitan dengan unsur buli atau penderaan susulan hasil bedah siasat mendapati tiada sebarang kecederaan fizikal pada tubuh mendiang.
Kata ibu kepada empat cahaya mata itu, siasatan dalaman lanjut termasuk ujian tertentu bagi mengenal pasti punca sebenar kematian anak sulungnya dijangka mengambil masa antara tiga hingga empat bulan.

“Sebagai seorang ibu, saya memang marah kepada pihak ATM kerana tidak menghubungi dan memaklumkan keadaan Indiran lebih awal, tambahan pula apabila menerima berita secara mengejut bahawa keadaannya kritikal, naluri saya ketika itu mengesyaki sesuatu yang buruk.
“Bagaimanapun, semua itu terjawab apabila hasil bedah siasat mendapati tiada sebarang kecederaan fizikal malah kami sendiri lihat keadaan fizikal dia (mendiang) memang elok, sangat normal.
“Dakwaan yang tersebar kononnya dia dipukul, dibuli atau didera adalah tidak benar dan saya minta orang ramai menghentikan sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan imej ATM dan tunggu siasatan seterusnya (hasil punca kematian),” katanya kepada pemberita ketika ditemui di kediamannya di Taman Sri Nibong di sini, hari ini.
Terdahulu, jasad mendiang Indiran tiba di kediaman keluarganya pada jam 1.45 pagi tadi dan akan diberikan istiadat penghormatan penuh ATM pada jam 12 tengah hari sebelum dibawa ke Tanah Perkuburan Hindu Batu Lanchang untuk disemadikan bersebelahan pusara bapanya kira-kira jam 3 petang.

Ketika diminta mengulas sama ada mendiang anaknya pernah mengadu dibuli, Usha berkata, latihan lasak dalam pasukan beruniform adalah perkara biasa dan tidak boleh disamakan dengan perbuatan buli.
“Mendiang bapanya juga anggota beruniform dan dia ikuti jejak langkah itu sudah semestinya kita tahu latihan dalam ATM memang lebih lasak. Tapi bukan buli sampai berdarah atau cedera,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, sebagai seorang ibu, peristiwa kehilangan suami dan anak sulung yang kedua-duanya dalam pasukan beruniform meninggalkan trauma yang sukar dilupakan.
“Walaupun masih berdepan kesan emosi daripada tragedi itu, saya tidak mahu menghalang minat anak-anak sekiranya mereka mahu menyertai pasukan beruniform,” katanya.
Indiran anak sulung daripada empat beradik dan tiga lagi adiknya, Varshini, 21, Sarvien, 17, dan Maitrashini, 12 kini berada di bawah jagaan Usha.
ARTIKEL BERKAITAN
Sedekad hilang suami kini saya hilang anak sulung pula – Usha
Media semalam melaporkan mendiang Indiran, 22, yang mengikuti kursus di Rejimen Pertama, Kor Armor Diraja, Kem Batu 10, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Pahang.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman memaklumkan hasil bedah siasat mendapati tiada kesan kecederaan fizikal atau kerosakan organ dalaman pada anggota berkenaan, sekali gus menafikan dakwaan ia berpunca daripada perbuatan buli. – MalaysiaGazette
















