KUANTAN – Pemimpin serta Ahli Jawatankuasa (AJK) Bersatu Bahagian Lipis dan Raub mengumumkan perletakan jawatan dan keluar parti berkuaskuasa serta-merta petang semalam.
Ketua Bersatu Bahagian Lipis, Nor Alias Ibrahim dan Ketua Bersatu Bahagian Raub, Datuk Fakrunizam Ibrahim dalam sidang media bersama berkata, pengisytiharan itu dibuat kerana amat kecewa dan tidak percaya lagi dengan kepimpinan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
“Kemelut yang berlaku dalam parti ini yang telah berlarutan hampir setahun amat mengecewakan kami, di mana kami lihat bagaimana Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak berjaya mengawal kemelut yang berlaku, malah kami lihat Tan Sri langsung tidak berbuat apa-apa untuk memulihkan keadaan,” kata Nor Alias.
Dakwanya, sikap Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Ketua Penerangan, Datuk Tun Faisal Ismail turut menjejaskan kepercayaan ahli di akar umbi parti itu terhadap Muhyiddin.
Kedua-dua pemimpin berkenaan dikatakan ‘lebih sudu daripada kuah’ apabila mengeluarkan kenyataan berhubung kemelut dalam parti, seolah-olah ‘direstui’ Muhyiddin.
“Malah lebih mengecewakan lagi, ramai ketua-ketua bahagian dan ahli-ahli parti telah dipecat apabila menyuarakan teguran dan lebih teruk lagi, termasuk timbalan presiden yang juga menjadi mangsa apabila dipecat baru-baru ini.
“Oleh itu saya menegaskan semua AJK Bersatu Bahagian Lipis dan Raub melepaskan semua jawatan yang dipegang di peringkat cawangan dan bahagian berkuatkuasa serta-merta dan maka dengan ini kami mengisytiharkan keluar daripada parti,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















