Foto: Laman web MyDigital ID

KUALA LUMPUR – Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 1/2026 mendedahkan sejumlah RM28.13 juta telah dibelanjakan tanpa kelulusan jawatankuasa ditetapkan dalam Projek Pembangunan MyDigital ID (Projek MyDID) di bawah pengurusan MIMOS Berhad.

Ia merangkumi 11 sub-skop projek yang dibelanja tanpa atau melebihi penyaluran peruntukan berjumlah RM4.08 juta dan perbelanjaan melebihi jumlah kos bagi satu sub-skop berjumlah RM70,000.

Menurut laporan itu, ia menunjukkan ketidakpatuhan jelas terhadap struktur kos projek dan syarat yang dipersetujui.

Tambahnya, pihak Audit juga mendapati perbelanjaan bagi resource cost, emolumen, kemudahan perubatan kakitangan dan kelengkapan pejabat berjumlah RM14.09 juta dibayar menggunakan dana pembangunan.

Katanya, ia bertentangan dengan Garis Panduan Pelaksanaan Projek Pembangunan RMKe-12 yang tidak membenarkan emolumen dan perolehan kelengkapan pejabat dibiayai melalui peruntukan pembangunan, sekali gus menunjukkan perbelanjaan tidak mengikut tujuan peruntukan (purpose of vote).

Dari aspek perolehan pula, pihak Audit mendapati pembelian security cage dan door access dibuat tanpa kelulusan Makmal Kajian Nilai, dan peralatan itu tidak digunakan yang membawa kepada pembaziran kewangan serta mencerminkan kelemahan kawalan aset.

“Secara umumnya sebagai salah seorang Ahli Lembaga Pengarah, wakil MIMOS hendaklah melaksanakan kuasa dan tanggungjawab fidusiarinya dengan memastikan setiap proses tadbir urus dan kawalan dalaman dipatuhi bagi memastikan kepentingan (best interest) Projek MyDID sentiasa terpelihara.

“Ia termasuk keperluan pematuhan syarat-syarat yang dikenakan oleh KDN kepada pengurusan MYDIDSB agar syarat-syarat berkenaan dipatuhi,” katanya.

Projek MyDID diletakkan di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) serta Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) yang bertindak sebagai agensi menyelia.

Terdahulu, Ketua Audit Negara, Datuk Seri Wan Suraya Wan Mohd Radzi berkata, LKAN 1/2026 yang dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini mendedahkan 273 isu baharu melibatkan pengurusan kewangan serta tadbir urus di peringkat persekutuan dan negeri.

Beliau berkata, laporan itu dibentang selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, dan terdiri daripada 15 naskhah melibatkan Penyata Kewangan Agensi Persekutuan Tahun 2024, aktiviti kementerian, jabatan serta badan berkanun persekutuan selain aktiviti kementerian, jabatan dan agensi negeri termasuk pengurusan syarikat kerajaan negeri.

Sementara itu, laporan itu menambah, bagi mengatasi kelemahan yang dibangkitkan dan memastikan perkara yang sama tidak berulang pada masa hadapan, MIMOS disyorkan melaksanakan langkah penambahbaikan.

Antaranya, jelas laporan itu, pihak pengurusan hendaklah memastikan semua perbelanjaan projek dilaksanakan dengan kelulusan jawatankuasa yang berkaitan serta mematuhi struktur kos dan tujuan peruntukan yang telah diluluskan.

Tambahnya, ia termasuk pematuhan kepada Garis Panduan Pelaksanaan Projek Pembangunan RMKe-12 bagi mengelakkan perbelanjaan yang tidak dibenarkan melalui dana pembangunan (purpose of vote).

Selain itu, laporan itu turut mengesyorkan supaya tadbir urus Geran Pembangunan dimantapkan untuk memastikan keputusan berkaitan peruntukan, pelaksanaan projek dan perolehan dibuat dengan ketelusan, akauntabiliti dan berpandukan peraturan sedia ada.

“Pemantapan peranan ini juga membantu memperkukuh tadbir urus korporat, meningkatkan keberkesanan penggunaan geran pembangunan dan memastikan tujuan asal geran tercapai,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast