Tun Faisal Ismail Aziz

KUALA LUMPUR — Bekas Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Hamzah Zainudin bukan lagi ahli parti itu dan tidak mempunyai sebarang hak untuk mewakili Ahli Parlimen Bersatu atau Perikatan Nasional (PN) dalam apa jua kapasiti rasmi di Dewan Rakyat.

Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz menegaskan, berdasarkan Akta Lompat Parti, Fasal 10.4 Perlembagaan Bersatu serta Peraturan Dewan Rakyat, kedudukan Hamzah kini adalah sebagai Ahli Parlimen Bebas selepas dipecat daripada parti.

“Hamzah Zainudin kini bukan lagi ahli Bersatu dan secara automatik dianggap Ahli Bebas di Dewan Rakyat. Begitu juga dengan Ahli Parlimen Grik, Padang Rengas, Tasik Gelugor, Machang dan Indera Mahkota yang telah dipecat.

“Berdasarkan Seksyen 9(1) Akta Lompat Parti 2022, sepatutnya mereka perlu dipindahkan ke blok Bebas dan tidak lagi mewakili Bersatu dan PN,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tun Faisal berkata demikian sebagai merujuk kepada kenyataan terdahulu Hamzah yang mendakwa 19 Ahli Parlimen Bersatu ‘kem’ beliau menyuarakan sokongan terhadap pelantikan Naib Presiden Pas, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar sebagai Pengerusi PN yang baharu.

Menerusi kenyataan bersama, kumpulan berkenaan merakamkan ucapan tahniah kepada Menteri Besar Terengganu itu atas pelantikan berkenaan selain menyifatkannya sebagai langkah konsolidasi serius bagi memperkukuh peranan gabungan sebagai blok pembangkang serta bersedia berkhidmat kepada rakyat dan membina negara.

Bagaimanapun, Tun Faisal menegaskan baki 20 ahli Parlimen Bersatu yang masih sah keahliannya kekal sebagai wakil parti dan PN dalam blok pembangkang serta tidak terjejas dengan peruntukan undang-undang sedia ada.

Katanya, mengikut Seksyen 9(2) Akta Lompat Parti, Ahli Dewan Rakyat yang masih menjadi ahli parti asal tidak boleh dianggap sebagai Ahli Bebas atau berpindah blok tanpa kelulusan parti atau pemecatan rasmi.

“Walaupun Hamzah mendakwa Ahli Parlimen Bersatu yang lain bersamanya, hanya Ahli Parlimen yang dipecat atau meninggalkan parti boleh bergabung dengannya.

“Ahli Parlimen yang kekal sebagai ahli Bersatu tidak sah secara undang-undang untuk berpindah blok secara kolektif tanpa tindakan disiplin rasmi,” katanya.

Beliau turut berpandangan sebarang jawatan yang dipegang oleh Ahli Parlimen yang telah dipecat seperti Ketua Whip, Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) dan pengerusi portfolio sewajarnya terbatal dan digantikan dengan wakil lain yang masih sah sebagai ahli parti.

Tambahnya, parti juga boleh memohon kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat supaya Ahli Parlimen yang dipecat dipindahkan ke blok Bebas bagi memastikan kedudukan blok pembangkang lebih jelas serta mengelakkan kekeliruan politik berpanjangan.

“Kesimpulannya, Hamzah tidak mempunyai hak untuk mewakili Perikatan Nasional, blok pembangkang dan Ahli Parlimen Bersatu yang lain kerana secara undang-undang mereka masih ahli Bersatu dan duduk dalam blok pembangkang.

“Hamzah dan ahli yang dipecat hanya boleh bertindak sebagai Ahli Bebas, dan tidak wajar dibenarkan mempengaruhi struktur blok pembangkang rasmi,” katanya.

Selain Hamzah, antara zhli Parlimen yang menyokong pelantikan Samsuri sebagai Pengerusi PN ialah Datuk Seri Ronald Kiandee (Beluran), Datuk Mas Ermieyati Samsudin (Masjid Tanah), Datuk Seri Saifuddin Abdullah (Indera Mahkota) dan Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (Tanah Merah).

Turut tersenarai ialah Datuk Rosol Wahid (Hulu Terengganu), Datuk Wan Saiful Wan Jan (Tasek Gelugor), Datuk Ku Abd Rahman Ku Ismail (Kubang Pasu), Datuk Muslimin Yahaya (Sungai Besar), Datuk Abdul Khalid Abdullah (Rompin), Khlir Mohd Nor (Ketereh) serta Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (Machang).

Nama lain termasuk Zakri Hassan (Kangar), Roslan Hashim (Kulim Bandar Baharu), Fathul Huzir Ayob (Gerik), Azahari Hassan (Padang Rengas), Nordin Ahmad Ismail (Lumut), Kalam Salam (Sabak Bernam) dan Islahuddin Abbas (Mersing). — MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast