JOHOR BAHRU – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Johor melumpuhkan aktiviti pengedaran arak selepas melakukan pemeriksaan di sebuah gudang di sekitar Kulai, bulan lalu.
Pengarah JKDM Johor, Aminul Izmeer Mohd Sohaimi berkata, menerusi serbuan kira-kira pukul 11 malam pada 20 Januari lalu, sebanyak 572,928 tin minuman keras bernilai lebih RM2.57 juta disita.
“Selain semua minuman keras yang membabitkan nilai cukai lebih RM12.27 juta itu, kastam turut menyita sebuah lori Isuzu Hino dan lima kontena yang bernilai RM55,000.
“Ketika serbuan dibuat, gudang berkenaan tiada orang, namun kita menjumpai sejumlah minuman keras dianggarkan sebanyak 286,464 liter bernilai RM2,570,800.
“Jumlah cukai atau duti yang terlibat adalah sebanyak RM12,276,339 menjadikan jumlah keseluruhan nilai sitaan dan cukai adalah RM14,902,139,” katanya ketika sidang akhbar di Menara Kastam Johor di sini hari ini.
Beliau berkata, sindiket pengedaran minuman keras itu dipercayai baharu beroperasi dengan minuman keras berkenaan dipercayai diimport dari China.
Menurutnya, usaha mengesan pemilik premis dan sindiket berkenaan sedang giat dijalankan.
Beliau memberitahu, modus operandi sindiket ini adalah dengan menjadikan premis gudang sebagai tempat penyimpanan barang larangan sebelum diedarkan kepada orang awam.
Aminul Izmeer berkata, minuman keras adalah barang larangan import di bawah Bahagian II Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023 yang mana pengimportannya memerlukan lesen import dan setem cukai yang diluluskan Ketua Pengarah Kastam.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 kerana menyimpan barang larangan,” jelasnya.- MalaysiaGazette
















