TANGKAK – Seorang penunggang maut selepas motosikal ditunggang merempuh seorang polis trafik yang sedang memeriksa seorang lelaki di lorong kecemasan di kilometer 107.1 Lebuhraya Utara Selatan di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintendan Roslan Mohd Talib berkata, pihaknya menerima maklumat berkenaan kejadian tersebut pukul 2.07 petang pada arah utara lebuh raya berkenaan.
“Kemalangan dipercayai berlaku apabila penunggang motosikal tersebut telah terlanggar seorang pegawai polis yang sedang membuat pemeriksaan ke atas seorang lelaki di lorong kecemasan.
“Pegawai polis berkenaan dari Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tangkak,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.
Beliau berkata, kemalangan tersebut menyebabkan pegawai polis dan penunggang terbabit mengalami kecederaan sebelum dikejarkan ke Hospital Jasin, Melaka untuk mendapatkan rawatan.
Katanya, lelaki terbabit iaitu seorang lelaki tempatan berusia 38 tahun yang menunggang motosikal Suzuki DL650XA warna biru meninggal dunia semasa mendapat rawatan di Hospital Jasin.
“Anggota polis tersebut pula mengalami kecederaan di bahagian kaki, tangan dan kepala. Setakat ini tiada kecederaan serius dan dirujuk ke Hospital Melaka untuk rawatan lanjut,” katanya.
Kemalangan tersebut katanya, hanya melibatkan motosikal mangsa dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Pihaknya menasihatkan orang ramai agar lebih berhati-hati semasa memandu dan pada masa sama memberi amaran agar tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kemalangan tersebut.
Beliau menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan kejadian tersebut untuk menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Mohd Zamil Azwa Amir Azwa 019-3058346 bagi membantu siasatan.
Terdahulu kejadian tersebut tular dalam media sosial memaparkan polis trafik dan mangsa terbaring atas jalan raya.- MalaysiaGazette
















